Menjelang cuti sekolah pada September 2024, Masjid Alkaff Kampung Melayu mengalu-alukan ibu bapa menggalak anak mereka agar bersama-sama menjadi sukarelawan masjid dan membantu memegang tabung semasa acara kutipan derma Masjid Alkaff Kampung Melayu di masjid-masjid seluruh Singapura.
Acara kutipan derma melalui tabung Masjid Alkaff Kampung Melayu itu akan diadakan pada 6 September 2024.
“Oleh sebab acara kutipan melalui tabung Masjid Alkaff Kampung Melayu akan diadakan semasa cuti sekolah, kami mahu menggalakkan ibu bapa melakukan sesuatu kegiatan bersama anak mereka yang boleh membantu merapatkan hubungan mereka.
“Kami menyarankan agar ibu bapa mengajak anak mereka meluangkan masa bersama sebagai sukarelawan untuk acara kutipan melalui tabung masjid ini.
“Masa yang mereka luangkan bersama pasti meninggalkan kesan positif buat si anak,” kata Eksekutif Komunikasi Pemasaran Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Nursakina Khalida Osman.
Namun, seandainya ibu bapa tidak mahu turut serta, Ustazah Nursakina berharap ibu bapa akan mengizinkan anak mereka menjadi relawan bagi acara kutipan derma itu.
“Kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas boleh turut serta menjadi sukarelawan bagi acara kutipan melalui tabung masjid kami.
“Jika mereka tidak ditemani ibu bapa mereka, kami akan memadankan mereka bersama abang-abang atau kakak-kakak yang lebih berusia daripada mereka.
“Sukarelawan berusia 18 tahun ke bawah dikehendaki mendapat izin ibu bapa mereka,” jelasnya.
Antara usaha peningkatan masjid itu adalah membina lif bagi memudahkan jemaah, khususnya kaum Muslimah dan warga emas, naik ke tingkat dua dan tiga masjid.
Masjid itu juga merancang membina laluan tanjakan bagi memudahkan mereka yang kurang upaya atau yang berkerusi roda ke dewan solat utama, serta menambah ruang solat.
Lantaran itu, Ustazah Nursakina berkata sukarelawan yang membantu mengumpul dana ini boleh berasa bangga apabila melihat kerja peningkatan masjid siap kelak kerana mereka turut menyumbang kepada usaha memperbaiki kawasan masjid.
“Sebenarnya, apabila kita menjadi sukarelawan bagi kutipan melalui tabung masjid, kita juga dapat mempelajari kemahiran lain seperti belajar berkomunikasi dengan jemaah atau mendapat nasihat daripada mereka yang lebih berusia,” kata Ustazah Nursakina.
Sekitar 150 sukarelawan diperlukan untuk memegang dua tabung di masjid-masjid serata Singapura.
Ini adalah tahun kedua masjid itu diberi peluang oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mengadakan kutipan melalui tabung di masjid-masjid seluruh Singapura.
Sukarelawan perlu melaporkan diri di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 10 pagi hari tersebut untuk sesi taklimat ringkas sebelum mereka dibawa ke masjid-masjid seluruh Singapura oleh sukarelawan daripada Perpaduan Amal dan Ibadah, atau PADI, yang terdiri daripada pemandu teksi serta perkhidmatan Grab, Tada dan Gojek.
Dengan menggunakan kenderaan mereka, pemandu PADI bakal mengambil dan menghantar sukarelawan ke masjid-masjid serata Singapura bagi memudahkan pergerakan tabung ke destinasi yang ditentukan.
Pada 2023, dengan kerjasama rakan-rakan di masjid dan jemaah, masjid itu telah mencapai sasaran kutipan.
Bagi mereka yang berminat menjadi sukarelawan untuk kutipan tabung masjid, sila mendaftar di laman https://alkaffkgmelayu.mimbar.sg/event/volunteer-masjid-alkaff-kampung-melayu
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ serta e-mel screenshot, atau tangkap layar, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.org.sg
2. Kirimkan cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 2 petang hingga 6 petang.
* Hubungi masjid di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg