Bermula daripada seorang juruteknik hingga dinaikkan pangkat menjadi jurutera dalam sektor perhotelan, kini Encik Nassir Siraj berasa teruja membantu dalam kerja peningkatan masjid yang dekat di hatinya ini.
Beliau kini mampu menggunakan pengalamannya selama 40 tahun untuk membantu menjayakan projek peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu agar lebih mesra pengguna, terutama untuk warga emas.
Ketika mengerjakan solat Jumaat di salah sebuah masjid di Singapura, beliau melihat sekeliling masjid tersebut dan menyedari bahawa ia memerlukan lebih banyak penambahbaikan secara keseluruhan.
Beliau mula memikirkan akan kemahiran yang ada padanya dan percaya bahawa beliau harus melakukan sesuatu sebagai bentuk sumbangan kepada masyarakat Islam.
“Jika saya boleh bekerja keras selama 40 tahun untuk memastikan sesebuah hotel itu kekal sebagai tempat yang mewah dan selesa, di mana orang ramai suka datang dan menginap, mengapa tidak meletakkan semua kemahiran saya pada pembaikan masjid,” kongsi Encik Nassir, 65 tahun.
Bermula sebagai penyelia di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan kini menyandang jawatan Ketua, di Jabatan Estet dan Penyelenggaraan masjid, Encik Nassir memulakan matlamatnya dan mengeluarkan senarai perkara yang perlu diubah.
Selain melakukan perubahan berdasarkan batasan yang ada, beliau turut bertanggungjawab memastikan pembantu masjid atau noja dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan dengan menghantar mereka menghadiri kursus.
“Ini amat penting kerana noja-noja kami adalah pihak yang menyelenggara masjid kami yang memerlukan mereka dilengkapkan dengan kemahiran berkaitan,” jelas Encik Nassir yang menghantar nojanya menyertai kursus-kursus ‘Pengendalian Keselamatan Makanan’, ‘Pengurusan Projek dan Kemudahan Pintar’ serta ‘Work on Height’.
Sebagai seorang yang berpengalaman dalam kelestarian (sustainability), Encik Nassir berharap dapat menerapkan teknologi dan inovasi moden ke dalam sektor masjid. Ini sejajar dengan hala tuju Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk menjadikannya sebagai bangunan ‘SMART’ (pintar) dan ‘Green Mosque’ iaitu masjid mesra alam.
Bagi menjadikan harapannya kenyataan, beliau mencipta satu daya usaha yang dipanggil ‘EcoFaith’.
“Kami menggalakkan komuniti kami agar bergerak ke arah kelestarian dan kerohanian. Beberapa projek melibatkan mengitar semula barangan, menukar kipas kepada kipas penjimat tenaga dan banyak lagi,” kongsinya lagi.
Tambahnya, beliau turut bekerjasama dengan rakan sekerja dalam mengurangkan tekanan air di kawasan wuduk berikutan kenaikan bil air dan mendidik jemaah tentang kepentingan penjimatan air dalam melaksanakan ibadah seperti berwuduk.
Keselesaan dan keselamatan adalah antara faktor penting dalam melaksanakan projek peningkatan untuk masjid ini.
Encik Nassir menjelaskan, “Berdasarkan demografi kami, kebanyakan jemaah kami adalah warga emas yang menghadapi masalah kesihatan dan mobiliti. Penting bagi kami menampung mereka dan memastikan persekitaran yang selamat dan selesa untuk semua.”
Oleh itu, masjid ini sedang berusaha mengumpul dana bagi menampung kos peningkatan yang antara lain bakal menyediakan lif, laluan tanjakan dan ruang solat yang lebih luas dan selesa, dengan harapan dapat menjadikan masjid tempat yang selamat, mesra pengguna dan mesra alam.
HULUR DERMA
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg
2. Hantar cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow UEN: S94MQ0017D atau Imbas kod QR yang tertera. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke Pejabat Masjid Alkaff Kampung Melayu dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5.30 petang.
5. Khidmat pungutan derma dari rumah boleh dibuat dengan menghubungi talian 6242-7244 untuk mengatur janji temu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg