Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman hujan ciri utama galeri mampan baru Gardens by the Bay

Galeri pamer usaha hijau taman pulihara biodiversiti, guna tenaga secara terhad
Nov 13, 2025 | 1:49 PM
taman hujan, gardens by the bay, tumbuhan tahan banjir, usaha hijau
Taman hujan seluas padang bola keranjang di Gardens by the Bay dipenuhi dengan tumbuhan tahan banjir. - Foto ST

Hanya beberapa langkah dari stesen MRT Gardens by the Bay, terletaknya taman hujan yang indah, dipenuhi dengan tumbuhan tahan banjir dan rama-rama yang berterbangan.

Taman itu, seluas padang bola keranjang, merupakan ciri utama galeri kemampanan baru yang dilancarkan di Gardens by the Bay pada 13 November, lapor The Straits Times (ST).

Galeri seluas 1,200 meter persegi tersebut mempamerkan semua usaha hijau taman tersebut, daripada mengurangkan penggunaan tenaga dan air di Supertrees, kepada mengehadkan pembaziran dan memelihara biodiversiti.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gardens by the Bay, Encik Felix Loh berkata: “Selain melawat tarikan ikonik kami, pengunjung juga boleh meneroka Gardens by the Bay melalui lensa kemampanan dan belajar bagaimana mereka boleh memainkan peranan pada masa depan yang lebih hijau.”

Selain membaca mengenai pelbagai usaha kemampanan melalui skrin digital, pengunjung juga boleh membuat ikrar iklim peribadi.

Kikkoman Singapore menyumbang sebanyak $500,000 untuk membina galeri yang menggunakan tenaga solar itu. 

Sejak 2010, jenama kicap Jepun itu telah menyumbang sebanyak $1.5 juta kepada Gardens by the Bay.

Sumbangan yang diberikan itu digunakan untuk menambah baik Kingfisher Lake dan penciptaan Kingfisher Wetlands, yang menjadi habitat kepada sekitar 200 pokok bakau yang mampu menyerap karbon dioksida.

Taman hujan baru seluas 420 meter persegi ini menggambarkan bagaimana alam semula jadi digunakan untuk mengurus banjir dalam persekitaran bandar. 

Semasa hujan, air hujan diserap oleh tumbuhan tahan banjir dan tanah berliang, yang menghapuskan kekotoran dan nutrien berlebihan sebelum ia mengalir ke Kolam Air Marina.

Taman hujan seluas padang bola keranjang di Gardens by the Bay dipenuhi dengan tumbuhan tahan banjir.
Taman hujan seluas padang bola keranjang di Gardens by the Bay dipenuhi dengan tumbuhan tahan banjir. - Foto ST

Lebih daripada 60 jenis tumbuhan, termasuk Weeping Tea-Tree (Aggreflorum longifolium) – yang menyerupai Weeping Willow (Salix babylonica) – dan Firebush (Hamelia patens), dipilih untuk taman hujan itu kerana kebolehan untuk bertahan dengan perubahan aras air yang tidak menentu.

Teknologi cekap tenaga telah membolehkan Gardens by the Bay mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak kira-kira 30 peratus. 

Sebagai contoh, Supertrees diterangi dengan tenaga daripada panel solar dan sisa kayu serta sisa hortikultur yang dikumpul di seluruh Singapura dibakar untuk menghasilkan elektrik yang digunakan untuk menyejukkan rumah kaca.

“Selain melawat tarikan ikonik kami, pengunjung juga boleh meneroka Gardens by the Bay melalui lensa kemampanan dan belajar bagaimana mereka boleh memainkan peranan pada masa depan yang lebih hijau.”
Encik Felix Loh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gardens by the Bay.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg