Galeri Nasional Singapura (NGS) telah menerima pentauliahan sebagai Pusat Kecemerlangan Seni Penyembuhan pertama di Asia, yang disampaikan satu inisiatif sejagat, Jameel Arts & Health Lab, dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dengan pengiktirafan tersebut, balai seni itu sekali gus menyertai barisan pusat seni cemerlang antarabangsa, iaitu lokasi konsert terbilang, Carnegie Hall, di Bandar New York; dan syarikat tarian nasional Scotland, Scottish Ballet di Glasgow, Scotland; dalam memperjuangkan misi sektor muzium menyokong kesihatan dan kesejahteraan pengunjung.
Galeri Nasional Singapura dipilih Jameel Arts & Health Lab yang ditubuhkan pada 2023 kerana usahanya mendampingi masyarakat kurang upaya, golongan yang mengalami demensia dan warga emas.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Timbalan Pengarah (Komuniti & Akses) NGS, Cik Alicia Teng, berkata pentauliahan itu memberi mandat lebih jelas kepada Galeri Nasional Singapura dalam mendalami usaha penglibatannya merentasi sektor kesihatan, akademik dan masyarakat, serta memastikan seni visual terus memainkan peranan penting dalam menyokong masyarakat di Singapura.
Antara inisiatif pihak galeri termasuk, ‘Arts With You’, yang membantu warga demensia dan penjaga mereka menghargai seni melalui soalan panduan khusus.
Program, ‘Hands On Learning and Development’ (Hold), pula menawarkan pengalaman berunsur sentuhan bagi individu yang menghadapi cabaran penglihatan melalui adaptasi karya seni kepada versi mesra sentuhan.
“Melalui program kami, kami melihat manfaat konsisten seperti keupayaan mengurus emosi dan pengamalan minda sedar dalam inisiatif seperti, ‘Slow Art’ dan ‘Calm Room’, di mana pengunjung melahirkan rasa lebih tenang, mampu merenung kehidupan dan kembali bertenaga.
“Kami juga melihat peningkatan hubungan sosial dan keyakinan, khususnya dalam kalangan warga emas, individu kurang upaya dan masyarakat neurodivergen (keadaan apabila otak seseorang berfungsi secara berbeza daripada kebiasaan), yang mengikuti program seperti, ‘Gallery Wonders’, yang menggalakkan komunikasi, rangsangan ingatan dan pengalaman bersama,” tambah Cik Teng.
Koleksi Hold pula mengadaptasi karya seni hasil koleksi negara kepada kegiatan berunsur deria sentuhan, yang membolehkan pengunjung berinteraksi dengan satu sama lain.
Program, ‘Art With You’, untuk warga demensia dan penjaga mereka pula merangkumi dua komponen, iaitu menghargai seni atau ‘Art Appreciation’ dan menghasilkan seni atau ‘Art Making’.
Komponen penghargaan seni itu menggunakan soalan mudah untuk membantu peserta berkongsi pemerhatian dan mengaitkan karya seni dengan pengalaman hidup mereka.
Kegiatan, ‘Art Making’, melibatkan usaha menghasilkan seni tembikar, yang memberi peluang kepada peserta menyiapkan objek berdasarkan perbualan sepanjang lawatan seni mereka.
Kajian yang dijalankan Galeri Nasional Singapura bersama agensi perkhidmatan sosial, Demensia Singapura, menunjukkan hasil positif bagi kedua-dua kumpulan peserta.
Individu dengan demensia mencatat purata markah atau skor 3.14 dalam skala unjuran jagaan demensia atau ‘Dementia Care Mapping Scale’, yang menandakan pengalaman emosi yang positif dan penglibatan aktif.
Kajian itu juga mendapati terdapat peningkatan sebanyak 56 peratus dari segi kesabaran dan pemahaman penjaga pada orang tersayang, mengikut ukuran skala penjagaan pesakit Alzheimer atau ‘Gain in Alzheimer Care Instrument’ (Gain), selepas mengikuti program Art With You. Program itu juga membawa pada peningkatan 44 peratus rasa terjalin penjaga dengan anggota keluarga tersayang yang mengalami demensia.
Selain itu, Galeri Nasional Singapura turut memperkenalkan beberapa inisiatif ketercapaian seperti panduan akses atau ‘Access Guide’, yang dibangunkan bersama Persatuan Orang Kurang Upaya (DPA).
Panduan itu menyediakan maklumat amali untuk membantu pengunjung merancang lawatan mereka, termasuk cara menuju ke galeri, ciri utama, serta pelan bagi setiap tingkat di galeri berkenaan, yang menyediakan kemudahan mesra akses.
Panduan itu boleh didapati dalam talian di bawah sumber aksesibiliti Galeri Nasional Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg