Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerima Anugerah Artis Muda lestarikan warisan melodi dalam jalinan silang budaya

Beliau mahu melestarikan warisan muzik tradisional Melayu dan pastikan ia kekal bernadi dalam sanubari masyarakat majmuk S’pura
Nov 28, 2025 | 6:01 PM
Anugerah, Artis, Muda
Cik Syafiqah ‘Adha Mohamed Sallehin bersama suaminya, Encik Shahrul Fadzly Shazuli. - Foto BM oleh MOHD KHALID BABA

Bakatnya diasah dalam kepakaran muzik klasik Barat.

Namun, jiwanya tetap utuh berakar dalam melodi tradisional Melayu.

Justeru tidak hairanlah mengapa muzik yang digubah komposer, Cik Syafiqah ‘Adha Mohamed Sallehin bersemi dengan identiti tersendiri, menzahirkan suara unik yang lahir daripada gabungan latihan klasik Barat dan amalan muzik tradisional Melayu.

Malah beliau menganggap bakatnya sebagai amanah untuk terus memayungi dan melestarikan warisan muzik tradisional Melayu dan memastikan ia kekal bernadi dalam sanubari masyarakat majmuk Singapura.

Dalam usaha mencapai hasrat ini, ibu satu anak berusia 35 tahun itu sering menjalinkan kerjasama erat dengan pemuzik daripada pelbagai latar budaya lain dalam persembahannya, bertujuan menyerlahkan keharmonian kepelbagaian kaum di Singapura.

Manifestasi jalinan ini jelas terpancar dalam pelbagai karya muziknya, antaranya lagu ‘River of Harmony’ yang dicipta dengan kerjasama GIMA Band pada tahun 2021.

Gubahan muzik tersebut merangkumi percampuran alunan alat tradisional dari pelbagai kaum, terdiri daripada akordion, tabla, gitar, bes, dan morin khuur (alat muzik bertali yang digesek dari Mongolia).

Berkat kesungguhannya, pemain akordion itu telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Artis Muda dalam majlis yang diadakan di Istana pada 27 November.

Beliau merupakan salah seorang daripada lima artis muda yang menerima pengiktirafan berprestij itu.

Anugerah ini diberikan atas potensi kecemerlangan seni serta kepimpinan yang telah ditunjukkan dalam lapangan seni sastera, seni persembahan, seni visual dan perfileman.

Dihubungi oleh Berita Minggu (BM), Cik Syafiqah, yang memulakan perjalanan seninya dengan bermain piano seawal usia empat tahun, menyifatkan anugerah tersebut sebagai penghormatan besar.

Beliau turut melahirkan harapan untuk dapat mempergiat usaha dalam memupuk kerjasama silang budaya.

Mengulas lanjut, beliau, yang juga penerima Anugerah Jauhari Inspirasi BH pada 2018 berkata:

“Usaha ini bukan sekadar mengundang pemuzik untuk berkumpul bermain instrumen berbeza secara luaran. Sebaliknya, usahanya bermula dari akar, iaitu dengan mendalami dan memahami alunan muzik berbeza yang akan dipersembahkan.

“Contohnya apabila bekerjasama dengan pemain tabla, kita perlu ketahui bagaimana rentak gaya India supaya kita dapat lebih memahami dan berkomunikasi, agar muzik yang dimainkan sepadan dan sebati.

“Sebagai pemain akordion Melayu pula, saya juga akan suntik lenggok kemelayuan dalam lagu yang dimainkan termasuk lagu Cina.”

Jelas, penglibatan Cik Syafiqah dalam bidang muzik bukan hangat-hangat tahi ayam, malah anak ketiga daripada empat beradik itu membawa minatnya yang mendalam terhadap seni dan muzik tradisional ke menara gading.

Beliau berjaya menjadi anak Melayu Singapura pertama yang merupakan graduan Konservatori Muzik Yong Siew Toh (YSTCM) di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau juga berjaya meraih Sarjana Muzik daripada YSTCM.

Selain mengasaskan Gendang Akustika, sebuah ensembel tradisional-kontemporari sejak 2009, Cik Syafiqah juga merupakan pengasas bersama ‘Open Score Project’, sebuah ensembel silang budaya yang membentuk karya asli dengan menggabungkan alat muzik tradisional daripada pelbagai budaya, sambil meraikan kekayaan kepelbagaian budaya Singapura melalui muzik.

Gendang Akustika, yang diterajui Cik Syafiqah juga banyak menghasilkan karya yang mengisahkan tentang tempat-tempat di Singapura, lantas memaparkan unsur-unsur pembangunan negara dan mencetuskan semangat patriotisme.

Antaranya sewaktu ‘Dendang Warisan: Kota Singa Di Geylang Serai’, Cik Syafiqah bekerjasama dengan anak seni lain seperti Encik Hidayat Nordin dan penulis lirik, Cik Hartinah Ahmad, bagi lagu-lagu bernadikan semangat kenegaraan seperti Di Tanah Itu, Mana Orang Kita, Teraju Tiga dan Joget Kota Singa.

“Sebenarnya, tak banyak karya muzik tradisional yang berasal dari Singapura, dan kita perlu menghasilkan lebih banyak lagu yang mengisahkan tentang Singapura, yang dihasilkan anak Singapura sendiri,” ujarnya.

Bekerja keras melakar nama dalam persada muzik setempat, Cik Syafiqah telah meraih beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong, Anugerah Komposer Muda dan Anugerah Tunas Warisan.

Kini, selain menjadi penggiat seni, Cik Syafiqah menyumbang kembali sebagai pendidik di fakulti artis YSTCM, selain menyelaras Ensembel Muzik Dunia dan mengajar kompang.

Beliau juga membimbing Ensembel Fusion Melayu di Sekolah Seni Singapura (Sota) serta mengendalikan muzik angklung di sekolah, sekali gus memupuk penghargaan terhadap seni tradisional dalam kalangan generasi muda.

“Saya tak pernah bayangkan saya akan menjadi seorang pendidik...tetapi saya gagahi cabaran tersebut supaya dapat mengembangkan kemahiran diri saya.

“Muzik melambangkan kemajuan negara. Ia bukan sekadar hiburan sahaja, tetapi cerminan jiwa kita, bukan sahaja sebagai individu tetapi sebuah negara. Disebabkan itulah saya terus rasa terpanggil untuk terus menceburi bidang muzik ini,” ujarnya.

“Usaha ini (giat usaha pupuk kerjasama silang budaya) bukan sekadar mengundang pemuzik untuk berkumpul bermain instrumen berbeza secara luaran. Sebaliknya, usahanya bermula dari akar, iaitu dengan mendalami dan memahami alunan muzik berbeza yang akan dipersembahkan. Contohnya apabila bekerjasama dengan pemain tabla, kita perlu ketahui bagaimana rentak gaya India supaya kita dapat lebih memahami dan berkomunikasi, agar muzik yang dimainkan sepadan dan sebati. Sebagai pemain akordion Melayu pula, saya juga akan suntik lenggok kemelayuan dalam lagu yang dimainkan termasuk lagu Cina.” 
Cik Syafiqah ‘Adha Mohamed Sallehin.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg