Amerika Syarikat enggan berunding berkaitan kadar tarif asas sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas Singapura, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Beliau berkata pentadbiran Amerika “tiada mood untuk membincangkan sebarang diskaun” dan “tidak komited” untuk sama ada menaikkan atau mengurangkan tarif asas pada masa hadapan.
“Saya rasa Amerika telah menyebut beberapa kali bahawa tarif asas boleh diselaraskan pada masa hadapan. Oleh itu, kami juga ingin tahu sama ada tarif asas akan kekal pada 10 peratus atau dikurangkan. Dan jawapannya adalah tidak komited.
“Mereka masih mengkaji semula tarif, dan pada masa akan datang, mereka akan membuat pengumuman sesuai, jadi kami hanya perlu menunggu dan melihat. Saya rasa terdapat ketidakpastian ketara,” kata Encik Gan yang pulang dari lawatannya ke Amerika pada 29 Julai.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Singapura telah dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika meskipun negara ini mencatat lebihan dagangan barangan sebanyak AS$2.8 bilion ($3.59 bilion) pada 2024.
Meskipun tidak sempat bertemu Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick, semasa lawatan itu, Encik Gan menyatakan beliau dapat bertemu pegawai lain termasuk Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, dan Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer.
Encik Gan berkongsi demikian di sesi dialog penutup Persidangan Institut Pengajian Dasar (IPS)-Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) ‘Bandar Global Singapura: SG60 Dan Selanjutnya’ di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 29 Julai.
Berkongsi lebih lanjut tentang ketidakpastian landskap ekonomi dan geopolitik yang mencabar, Encik Gan berkata saiz Singapura yang kecil serta kekuatan kerjasama tiga pihak antara pemerintah, kesatuan sekerja dan perusahaan membolehkan negara ini menangani isu dan menyelesaikan masalah yang timbul.
Beliau menambah, saiz yang kecil membolehkan Singapura menjadi lebih daya tangkas dalam menghadapi perubahan, dan pemerintah, perniagaan dan kesatuan sekerja dapat bekerjasama dalam mengharungi krisis.
“Setiap kali berlaku krisis, rakan kongsi tiga pihak akan berkumpul, menangani isu dan bekerjasama antara satu sama lain untuk menyelesaikan masalah dan tidak cuba menolak masalah itu kepada pihak lain.
“Ia adalah sesuatu yang sangat sukar untuk ditiru negara lain.
“Ini sebenarnya salah satu kekuatan utama kami. Jadi apabila berhadapan dengan cabaran dan kesukaran, terjadinya krisis ekonomi, kita himpunkan rakan kongsi tiga pihak, duduk semeja dan cari penyelesaian bersama, dan kita boleh maju bersama,” ujar Encik Gan.
Menurutnya, Singapura telah mengambil pendekatan untuk mengurangkan kos untuk menyelamatkan pekerjaan, bukan sebaliknya, semasa krisis ekonomi.
“Kesatuan sekerja tahu bahawa jika perniagaan tidak berada dalam keadaan baik, mustahil pekerja dapat dijaga dengan baik. Jika syarikat tidak menjana keuntungan, mereka tidak mampu memberi bonus kepada pekerja. Dan jika bonus diberikan sekali pun, ia tidak akan berkekalan.
“Oleh itu, saya percaya kesatuan juga sedar bahawa untuk pekerja dilayan dengan baik, perniagaan perlu berjaya terlebih dahulu,” ujar Encik Gan.
Justeru, beliau menggalakkan perniagaan untuk menyesuaikan diri dan kekal bersedia untuk berubah, dengan sokongan daripada agensi pemerintah.
“Kami juga mahu memastikan pekerja dapat menerima realiti baru dengan cepat, sebab itulah kami melabur besar dalam latihan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja,” kata beliau merujuk kepada inisiatif seperti SkillsFuture, supaya pekerja bersedia merebut peluang masa depan.
Dalam pada itu, Encik Gan turut menekankan kepentingan bagi Singapura mengambil iktibar daripada pengalaman 60 tahun lalu.
“Kita perlu terus meneliti semula dasar kita dengan kerap, kerana apabila keadaan berubah, dasar yang kita ada 10 tahun lalu mungkin tidak lagi mampan dan inklusif.
“Oleh itu kita mesti bersedia untuk menyesuaikan diri, dan membuat perubahan mengikut keadaan,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg