Bilik tenaga di Depot Kim Chuan yang terbakar pada 18 September dan menyebabkan gangguan pada hari kedua ke atas penumpang Laluan Circle (CCL) telah diasingkan daripada rangkaian.
Ia dijalankan jurutera SMRT yang bekerja semalaman untuk memastikan operasi lancar pada 19 September.
Dalam kemas kini di Facebook, SMRT berkata ia bekerjasama dengan pengeluar peralatan asal dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengenai rancangan pemulihan untuk memastikan bekalan tenaga stabil ke laluan MRT sepanjang 35 kilometer.
SMRT berkata ia juga akan terus bekerjasama dengan LTA dan dua pengeluar, iaitu Siemens dan sebuah syarikat bernama IDEAL, dalam siasatan bersama untuk menentukan punca kebakaran.
Mereka juga akan menilai sama ada kejadian pada 18 September itu ada kaitan dengan gangguan bekalan elektrik sebelum ini yang menyebabkan CCL tergendala selama hampir dua jam pada 17 September.
Sebanyak 11 kereta api terhenti di terowong laluan kereta api akibat gangguan bekalan tersebut.
“Kami hargai kesabaran semua penumpang dan memohon maaf atas perjalanan yang lebih lama sejak dua hari lalu,” kata SMRT.
Sekitar 8 malam pada 18 September, beberapa kereta api di CCL terhenti sekitar 15 minit selepas kebakaran berlaku di salah sebuah bilik sistem tenaga di Depoh Kim Chuan, yang menyebabkan gangguan bekalan tenaga ke seluruh laluan CCL.
Kubikel sistem tenaga ialah kotak logam besar yang mengandungi transformer yang mengawal voltan tenaga elektrik yang dikeluarkan.
Jurutera SMRT memadamkan kebakaran dan memulihkan bekalan elektrik pada 8.10 malam. Perkhidmatan kereta api disambung semula secara beransur-ansur dari sekitar 8.15 malam.
Dalam tempoh 12 bulan berakhir Mac 2024, CCL ialah laluan MRT yang paling berhadapan isu kebolehpercayaan dan satu-satunya yang mencatatkan penurunan dalam prestasi, lapor The Straits Times.
Ketua Eksekutif kumpulan SMRT, Encik Ngien Hoon Ping, sebelum ini berkata separuh daripada kerosakan CCL dalam tempoh itu adalah disebabkan kerja-kerja naik taraf untuk menyepadukan sistem sedia ada dengan Laluan Circle Peringkat 6 (CCL6), yang akan menutup ruang antara stesen HarbourFront dengan Marina Bay.
Pada 2019, Siemens diberikan kontrak oleh LTA untuk membekalkan sistem tenaga untuk CCL6.
Siemens juga telah diberi kontrak untuk sistem rel konduktor Laluan Cross Island, yang membekalkan elektrik kepada kereta api.
Ini merupakan sebahagian daripada konsortium yang perolehi kontrak $400 juta untuk reka bentuk dan memasang sistem bekalan tenaga bagi laluan MRT kelapan Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg