Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SMRT: Keandalan Laluan Circle akan terus meningkat selepas laluan penuh selesai

Aug 1, 2024 | 2:16 PM
Mengikut angka keandalan rel terkini yang dikeluarkan pada Julai, Laluan Circle paling tidak boleh dipercayai antara lima laluan MRT di Singapura (tidak termasuk Laluan Thomson-East Coast atau TEL). Ia juga satu-satunya laluan yang mencatatkan penurunan prestasi.
Mengikut angka keandalan rel terkini yang dikeluarkan pada Julai, Laluan Circle paling tidak boleh dipercayai antara lima laluan MRT di Singapura (tidak termasuk Laluan Thomson-East Coast atau TEL). Ia juga satu-satunya laluan yang mencatatkan penurunan prestasi. - Foto ZAOBAO

Separuh daripada kerosakan di Laluan Circle (CCL) antara April 2023 dengan Mac 2024 adalah disebabkan kerja-kerja menaik taraf untuk menyepadukan sistem sedia ada dengan tiga stesen MRT terakhir laluan itu yang dijadualkan siap pada 2026, kata pengendali SMRT.

Keandalan laluan MRT akan meningkat apabila laluan penuh selesai, kata ketua eksekutif kumpulan SMRT, Encik Ngien Hoon Ping, pada 31 Julai.

CCL adalah yang paling tidak boleh dipercayai antara lima laluan MRT di Singapura dan satu-satunya yang mencatatkan penurunan prestasi, menurut angka keandalan rel terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa pada Julai, lapor The Straits Times (ST).

Laluan Thomson-East Coast (TEL) tidak disertakan dalam laporan itu.

CCL mencatat perjalanan purata 1.03 juta tren-kilometer sebelum tergendala dalam 12 bulan yang berakhir pada Mac 2024, berkurang daripada 1.21 juta tren-kilometer pada 2023 dan 1.84 juta tren-kilometer pada 2022.

Tiga perhentian terakhir laluan itu akan menutup gelung rangkaian antara HarbourFront dengan Marina Bay.

Encik Ngien berkata kerja menyelesaikan peringkat akhir itu dan menyepadukannya dengan seluruh laluan adalah sangat kompleks, kerana pelbagai sistem saling berkaitan yang terlibat.

Projek itu turut menjejas pelaksanaan kerja penyelenggaraan biasa.

Laluan MRT Utara-Selatan dan Timur-Barat kendalian SMRT mencatat peningkatan dari segi keandalan, dirangsang oleh siapnya kerja baik pulih selama beberapa tahun pada 2023.

Dalam laporan kewangan terbaru Kumpulan SMRT yang dikeluarkan pada 31 Julai, SMRT Trains mengumumkan pendapatan $886.7 juta untuk tahun kewangan 2023/24.

Ia 9 peratus lebih tinggi daripada $813.2 juta pada tahun sebelumnya.

Kenaikan itu dikaitkan dengan tambang purata lebih tinggi dan peningkatan jumlah penumpang harian.

Jumlah penumpang tahunan SMRT Trains ialah 717 juta untuk tahun kewangan itu – tahun pertama pengguna TEL dimasukkan.

Ini terus meningkat daripada 636 juta pada tahun kewangan sebelumnya dan 480 juta pada 2021/22.

Namun, angka penumpang terkini masih kira-kira 11 peratus lebih rendah daripada sebelum Covid-19.

Keuntungan selepas cukai 2023/24 turun 82 peratus kepada $7.5 juta daripada tahun sebelumnya, apabila pengendali rel menerima pembayaran dividen $40.8 juta daripada anak syarikatnya, SMRT TEL, yang mengendalikan TEL.

Menjawab pertanyaan ST, SMRT berkata jumlah penumpang TEL, selepas tujuh stesen baru dalam peringkat keempat laluan itu dibuka pada Jun, mencatat purata harian kira-kira 250,000. Ini meningkat daripada 177,000 pada Oktober 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg