Gangguan YouTube jejas ribuan pengguna termasuk di AS, S’pura dan Australia
Gangguan YouTube jejas ribuan pengguna termasuk di AS, S’pura dan Australia
Di S’pura lebih 2,900 laporan gangguan perkhidmatan di YouTube direkodkan di Downdetector.com sekitar 9.20 pagi
YouTube pada 18 Februari mengatakan ia telah memperbaiki gangguan di platform yang menjejas ribuan akaun di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Australia, dan India.
Dalam satu hantaran di X pada 18 Februari, TeamYouTube berkata: “Isu ini telah diperbaiki bagi seluruh YouTube.”
Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang melaporkan masalah itu dan bersabar sementara YouTube menyelesaikan perkara tersebut.
Dalam satu kemas kini di forum Google, YouTube mengatakan bahawa semua platform mereka – YouTube.com, aplikasi YouTube, YouTube Music, Kids, dan TV – telah kembali normal.
Dalam kemas kini sebelumnya di X, TeamYouTube berkata gangguan tersebut menghalang video daripada muncul di beberapa tempat, termasuk halaman utama dan aplikasi.
Lebih 329,000 pengguna di Amerika melaporkan masalah dengan platform tersebut di Downdetector.com pada 9.18 pagi, waktu Singapura, 18 Februari.
Jumlah laporan mula berkurang selepas 9.33 pagi, dan pada 12 tengah hari, hanya ada kira-kira 66 laporan.
Menurut laporan Reuters yang memetik data dari Downdetector, pengguna YouTube di Britain dan Mexico juga mengalami masalah dengan platform tersebut.
Memetik data dari Downdetector.com, Bloomberg melaporkan bahawa Google, Amazon Web Services dan Cloudflare adalah antara laman web lain yang mengalami masalah di Amerika.
Dalam kiriman forum Google pada 18 Februari, YouTube mengatakan terdapat sejumlah kecil laporan yang mengatakan beberapa orang tidak dapat log masuk ke YouTube TV.
Sekitar 8,923 laporan gangguan perkhidmatan untuk YouTube TV dan 2,694 laporan untuk gangguan perkhidmatan di Google direkodkan di DownDetector di Amerika, pada 9.18 pagi, waktu Singapura. Jumlah laporan itu jatuh kepada kurang dari 10 di kededua platform menjelang 12 tengah hari.
Di Singapura, lebih 2,900 laporan gangguan perkhidmatan di YouTube direkodkan di Downdetector.com sekitar 9.20 pagi, waktu Singapura. Laporan itu turun kepada 40 menjelang 12 tengah hari.
Beberapa pengguna di Singapura meluahkan pengalaman mereka mengenai masalah itu di platform media sosial dan forum dalam talian.
Di forum HardwareZone pada 18 Februari, pengguna CyberGhost berkata: “YouTube juga ingin bercuti semasa Tahun Baru Cina (CNY), dan tiada apa yang salah dengan itu.”
Beberapa pengguna di forum HardwareZone berkata masalah itu hanya berlaku di “halaman utama”, sementara semua ciri YouTube yang lain berfungsi dengan baik.
Di Australia, jumlah laporan gangguan perkhidmatan YouTube mencapai puncaknya sekitar 9.14 pagi, waktu Singapura. Sekitar 11,872 laporan dibuat di Downdetector.com pada masa itu, dan jumlah laporan itu telah turun kepada 149 pada 12.15 tengah hari.
Di India, 19,250 laporan gangguan perkhidmatan dibuat di Downdetector.com pada 9.50 pagi. Data dari laman tersebut menunjukkan bahawa jumlah laporan jatuh kepada 156 pada 12 tengah hari.
YouTube, yang dimiliki oleh Google, adalah platform perkongsian video terbesar di dunia, dan mempunyai lebih daripada 2.5 bilion pengguna aktif setiap bulan, menurut AFP.

