Topik diikuti
Pergi ke BHkuGantri ERP mula ditanggal jelang peralihan kepada sistem caj satelit 1 Jan
Gantri ERP mula ditanggal jelang peralihan kepada sistem caj satelit 1 Jan
Pemandu akan perlu bergantung kepada tanda jalan dan peringatan unit dalam kenderaan (OBU) untuk mengetahui lokasi caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) dikenakan, selepas kebanyakan gantri ditanggalkan susulan peralihan kepada sistem caj berasaskan satelit mulai 1 Januari 2027.
Gantri ERP sedia ada akan ditanggalkan atau diubah suai secara berperingkat menjelang Jun 2027, selepas itu sistem satelit akan digunakan untuk mengenakan caj jalan raya, umum Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan pada 18 November.
Tanda jalan dan papan tanda jalan akan memberi peringatan kepada pemandu apabila mereka memasuki bahagian jalan yang dikenakan caj ERP.
Peringatan OBU akan turut memaklumkan pemandu mengenai lokasi caj ERP dikenakan, serta kadar yang dikenakan.
Mereka juga akan menerima peringatan pada OBU sebelum memasuki lokasi caj ERP, kadar caj ERP pada masa itu, serta pengesahan jumlah yang dikenakan selepas melepasi lokasi tersebut.
Di jalan raya, tanda bujur berwarna biru dengan huruf ERP akan dicat pada permukaan jalan. Dua tanda akan diletakkan di lorong menuju ke kawasan caj ERP di jalan utama dan jalan susur, manakala tiga tanda akan digunakan di lebuh raya.
Papan tanda ‘ERP Charge Zone’ juga akan memberi isyarat kepada pemandu bahawa mereka memasuki lokasi yang dikenakan caj ERP.
LTA menyatakan perubahan itu sedang dilaksanakan di gantri yang masih beroperasi sebelum 1 Januari 2027, bagi membolehkan pemandu membiasakan diri dengan sistem ERP baharu.
Sistem yang dikenali sebagai ERP 2.0 menggunakan teknologi Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) untuk mengesan apabila kenderaan melalui kawasan yang dikenakan caj. Ini bermakna gantri ERP tidak lagi diperlukan.
Teknologi itu membantu LTA bertindak dengan lebih pantas terhadap perubahan aliran trafik dan menyokong perancangan pengangkutan dengan lebih baik, menurut kenyataan itu.
Walaupun ERP 2.0 tidak memerlukan gantri untuk memotong caj jalan raya, sebilangan gantri – kebanyakannya di lebuh raya – akan kekal.
Ia akan digunakan untuk memasang peranti yang menyokong ERP 2.0 dan peranti lain, termasuk yang menyokong kedudukan lokasi bagi caj ERP di kawasan isyarat satelit mungkin kurang stabil.
Pada masa ini terdapat 95 gantri ERP, dengan 62 daripadanya sudah tidak lagi beroperasi. Baki 33 gantri akan digunakan bagi caj ERP sehingga 31 Disember 2026.
Kerja untuk mengalih keluar dan mengubah suai 62 gantri ERP yang tidak lagi beroperasi bermula pada Oktober, dan akan diteruskan kepada baki 33 gantri mulai Januari 2027.
Sebanyak 12 gantri di seluruh Singapura telah ditanggalkan atau diubah suai, setakat ini.