Topik diikuti
Pergi ke BHkuPapan tanda, simbol baharu ERP 2 diperkenal di seluruh S’pura mulai Okt
Papan tanda, simbol baharu ERP 2 diperkenal di seluruh S’pura mulai Okt
Tanda dan simbol jalan baharu bagi sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) generasi baharu akan diperkenalkan di seluruh Singapura mulai Oktober.
Dalam satu kenyataan pada 28 September, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan dua simbol bujur biru ‘ERP’ akan dicat pada setiap lorong di jalan utama dan jalan susur bagi membantu pemandu mengenal pasti lokasi bayaran ERP.
Di lebuh raya, tiga simbol akan dicat pada setiap lorong supaya lebih mudah dilihat oleh pemandu yang bergerak pada kelajuan lebih tinggi, kata LTA.
Papan tanda baharu ‘ERP Charge Zone’ (Zon Bayaran ERP) juga akan dipasang di permulaan setiap lokasi bayaran ERP sebagai petunjuk tambahan kepada pemandu.
Tanda dan papan tanda baharu itu akan diperkenalkan secara berperingkat di 33 lokasi ERP yang sedang beroperasi.
Pelaksanaan itu dibuat menjelang pelancaran ERP 2 pada 1 Januari 2027.
Semua kenderaan berdaftar di Singapura mesti dilengkapi unit dalam kenderaan (OBU) menjelang tarikh itu untuk digunakan di jalan raya awam.
LTA berkata petunjuk baharu itu akan melengkapi pemberitahuan OBU bagi sistem ERP berteraskan satelit (ERP 2.0), yang memberi amaran sebelum pemandu memasuki lokasi bayaran ERP serta memaparkan kadar semasa.
OBU juga akan memaparkan jumlah bayaran apabila pemandu melalui lokasi ERP.
Setakat ini, lebih 98 peratus kenderaan berdaftar di Singapura yang layak telah dilengkapi OBU, dedah LTA.
Pihak berkuasa itu berkata kajian dua fasa bagi menilai kesan pelbagai tanda dan papan tanda jalan dijalankan dari Mac hingga Julai.
Kira-kira 1,000 pemandu menyertai fasa kedua dari 1 Jun hingga 31 Julai, melibatkan lima lebuh raya dan jalan utama dengan keadaan jalan dan lalu lintas berbeza.
Kajian itu mendapati tanda dan papan tanda jalan membantu pemandu mengenal pasti kawasan bayaran ERP tanpa gantri, kata LTA.
Simbol bujur biru ‘ERP’ menjadi pilihan utama kerana mudah dilihat dalam pelbagai keadaan lalu lintas dan cuaca serta mudah difahami pemandu, tambahnya.
Reka bentuk lain yang diuji termasuk bahagian jalan sepanjang 25 meter (m) yang dicat biru serta garisan biru 25m di sisi jalan dan pembahagi lorong.
Memandangkan ERP baharu menggunakan teknologi satelit, gantri fizikal di jalan raya Singapura tidak lagi diperlukan, kata LTA.
Gantri ERP di seluruh Singapura akan ditanggalkan secara berperingkat mulai Oktober dalam dua fasa, tambahnya.
Fasa pertama melibatkan 62 gantri ERP yang tidak beroperasi ditanggalkan, manakala baki 33 gantri akan ditanggalkan selepas bayaran ERP berasaskan gantri berakhir pada 31 Disember.
Namun, rangka gantri ERP di beberapa lokasi mungkin dikekalkan dan dipasang dengan unit tepi jalan bagi menyokong sambungan satelit, kata LTA.
Pengubahsuaian atau penyingkiran kesemua 95 gantri ERP dijangka selesai menjelang Jun 2027.
LTA juga akan terus memantau keadaan lalu lintas dan melaksanakan langkah pengurusan kesesakan yang sesuai apabila perlu.