Gara-gara sebuah kereta ditinggalkan di sebuah jalan raya sempit, deretan kenderaan lain hadapi masalah untuk melintasinya.
Seorang pemandu baru-baru ini menimbulkan kemarahan pemandu lain apabila keretanya menghalang lalu lintas di sepanjang Circular Road pada petang Khamis (7 Disember).
Menurut laporan AsiaOne, pengguna Jan Rick Camara Mascarina memuat naik beberapa video mengongsi kejadian itu di laman Facebook Complaint Singapore.
Dalam klip yang dimuat naiknya, para pemandu yang beratur panjang di belakang Mitsubishi merah di jalan raya satu lorong itu dikatakan telah membunyikan hon dengan harapan untuk memaklumkan pemilik kereta tentang keadaan tersebut. Malangnya tidak berjaya.
Tidak lama kemudian, seorang penunggang motosikal dengan berpakaian baju hujan cuba membantu selesaikan masalah itu. Dalam keadaan hujan, penunggang itu belihatan bersungguh-sungguh memberi arahan kepada kenderaan lain yang tersepit untuk cuba memintas kereta itu secara selamat.
Dalam muatan lain di TikTok, pengguna @garygaryocp, menunjukkan video ‘abang’ motosikal itu yang cuba membantu. Warga net memujinya kerana bersifat mulia. Dalam ruang komen, seorang pengguna @Titan74# menulis:
“Ini bezanya, aksi seorang yang tidak mementingkan diri, dan seorang lagi yang sangat mementingkan diri sendiri..”
Kira-kira setengah jam kemudian, pemandu kenderaan merah itu kelihatan kembali ke kereta Mitsubishi itu.
“Beliau terpaksa berhadapan dengan kemarahan pemandu yang tidak sabar,” tulis pengguna facebook itu.
Jeritan kedengaran ketika beberapa pemandu yang marah mengepung kereta itu, dan seorang lelaki berpakaian putih menghampiri Mitsubishi untuk berdepan dengan pemandu.
Bagaimanapun, kereta itu tidak berganjak dari tempat kejadian, mendorong lelaki itu memukul bonet kereta dan menjerit kepada pemandu supaya bergerak.
Apabila pemandu lain mula membunyikan hon, Mitsubishi itu akhirnya beredar.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), pemandu yang memberhentikan kenderaan di jalan raya dalam kedudukan yang mungkin menyebabkan bahaya atau ketidakselesaan yang tidak wajar kepada pengguna jalan raya lain mungkin dikenakan denda $300. Pesalah berulang akan didenda $450.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg