Kementerian Pendidikan (MOE) telah memperkenal satu garis panduan bagi mengelak jangkaan dan kelakuan tidak munasabah daripada pihak berkepentingan yang menjejas kesejahteraan guru, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Beliau berkata antara lain garis panduan itu ialah guru tidak perlu mengongsi nombor telefon peribadi mereka dan juga tidak perlu menjawab mesej berkaitan kerja selepas waktu sekolah.
“Kebanyakan ibu bapa menghormati batasan yang ada semasa berkomunikasi dengan guru anak mereka. Namun, terdapat sebilangan kecil yang tidak sehaluan dengan batasan itu,” kata Encik Chan.
“Sebagai sebuah industri, kita harus terus mengutamakan dan memberi struktur kepada tugasan kita supaya guru ada peluang melakukan kerja lebih bermakna,” tambahnya.
Encik Chan berkata demikian semasa berucap di Seminar Pelan Kerja Sekolah (WPS) 2024 di Singapore Expo pada 18 September.
Seminar tahunan itu dihadiri lebih 1,700 pemimpin dan guru sekolah untuk membincangkan keutamaan dan inovasi bagi bidang pendidikan, dengan tema ‘Membentuk Kemungkinan Bersama’.
Dalam ucapannya, Encik Chan juga menggalak pendidik, ibu bapa dan pelajar menggunakan cara pemikiran baru dan mengasah kemahiran bagi memenuhi keperluan masa depan yang terus berubah.
Beliau mengakui sumber tenaga terhad di sekolah namun berkata membawa masuk lebih ramai guru mungkin bukan satu huraian muktamad.
“Kita boleh membawa masuk lebih ramai guru. Namun, persoalan sebenar ialah apakah kita boleh membawa masuk lebih ramai guru tanpa menjejaskan mutu yang kita ada hari ini,” ujarnya.
Salah satu strategi yang diserlahkan Encik Chan dalam ucapan beliau ialah meningkatkan sokongan bagi pendidik.
Antara langkah yang diambil ialah membenarkan ibu bapa menghantar dokumen anak, seperti sijil perubatan, secara elektronik dalam aplikasi Parents Gateway.
Dibangunkan oleh MOE dan GovTech, Parents Gateway adalah sebuah portal yang bertujuan memperkukuh kerjasama sekolah dengan keluarga untuk membantu pelajar dalam perjalanan pendidikan mereka.
Antara manfaat lain, guru kini menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat pengumuman dan borang persetujuan kepada ibu bapa pelajar.
Mereka juga dapat mengumpul maklum balas, termasuk mengumumkan perjalanan, dan menjadualkan mesyuarat dengan ibu bapa pelajar mereka.
Ini mengurangkan penyelarasan guru dengan ibu bapa secara berturutan.
Menurut Encik Chan, ia bakal dicuba di 10 sekolah daripada peringkat rendah hingga prauniversiti dari Januari hingga Mac 2025. Jika program perintis itu berjaya, ia akan dilaksanakan secara progresif ke semua sekolah pada akhir 2025.
Ini sebahagian daripada penerokaan teknologi MOE bagi menyelaraskan kerja pentadbiran, yang menurut Encik Chan “telah mengurangkan beban pentadbiran sebanyak 10 peratus”.
Beliau turut mengumumkan pilihan bagi sekolah menawarkan Program Pembelajaran Gunaan (ALP) atau Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLP), dan bukan kedua-duanya, mulai 2026.
Sejak ALP dan LLP diperkenalkan pada 2014, terdapat pelbagai program yang bertujuan menyokong keperluan pembelajaran pelajar dengan lebih baik, serta menggalak keseronokan proses pembelajaran.
Program-program itu memberi peluang kepada pelajar melakukan pembelajaran secara langsung dengan harapan menghubungkan pengetahuan dan kemahiran akademik dengan dunia sebenar.
Integrasi baru itu akan memberi sekolah kebebasan serta fleksibiliti lebih luas bagi menguruskan sumber yang ada, serta meringankan beban kerja guru.
Dengan itu, sekolah masih mempunyai pilihan untuk meneruskan kedua-dua program tersebut.
Guru juga kini hanya perlu membalas mesej daripada ibu bapa semasa waktu kerja. Encik Chan mentakrifkan waktu itu dari 7 pagi hingga 5 petang.
Ibu bapa digalak menggunakan saluran rasmi seperti melalui e-mel dan nombor pejabat, kecuali dalam kes kecemasan atau situasi lain yang tidak dapat dielakkan.
“Ini menentukan adanya batasan perhubungan antara ibu bapa dengan guru, dan membolehkan pendidik memberi tumpuan kepada cara pengendalian kelas dan aktiviti pelajar.
“Ia juga memastikan pendidik mempunyai masa selepas waktu sekolah untuk menjaga keluarga dan rehat,” tambah Encik Chan.
Usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif Piagam Keterlibatan, yang diperkenalkan semasa Encik Chan berucap untuk memberi penekanan kepada tingkah laku ibu bapa apabila berinteraksi dengan kakitangan sekolah.
Di samping itu, Encik Chan menggariskan strategi kedua, iaitu memperkukuh kerjasama antara ibu bapa dengan guru anak mereka.
Dengan keperluan dan aspirasi ibu bapa dan guru sentiasa berubah, MOE serta Masyarakat dan Ibu Bapa yang Menyokong Sekolah (Compass) telah memperbaharui Panduan untuk Kerjasama Sekolah dan Rumah (GSHP).
Panduan ini, melalui penglibatan lebih 300 guru dan ibu bapa melalui satu siri perbualan dari Mei hingga Ogos 2024, memberi cadangan cara bagaimana pelbagai pihak boleh bekerjasama dengan lebih positif.
“Kita perlu berkomunikasi dengan kata-kata dan tindakan yang baik sebagai rakan kongsi dalam pendidikan.
“Guru sekolah telah berkongsi bahawa mereka hargai kepercayaan ibu bapa supaya guru boleh mempunyai masa dan ruang sendiri.
“Ibu bapa pula berkongsi bahawa mereka akan menghargai jika pendidik boleh memahami bahawa mereka juga cuba yang terbaik sebagai ibu bapa,” ujar Encik Chan.
Beliau berkata sekolah ada kebebasan mengeluarkan garis panduan itu dalam konteks sekolah mereka sendiri, dengan perundingan bersama ibu bapa dan guru.
Satu dek kad perbualan turut diumumkan dengan tujuan mengukuhkan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak mereka untuk memudahkan perkongsian perasaan kededua pihak.
Dalam pada itu, Encik Chan juga memperkenalkan Program Pembangunan Kepimpinan untuk mengenal pasti, membangunkan, dan mengekalkan pemimpin berpotensi daripada golongan guru sekolah pendidikan khas (Sped).
“Selain tugasan berasaskan sekolah, peserta akan mempunyai peluang didedahkan kepada sekolah atau organisasi berkenaan dengan Sped, serta mengambil tugasan dari seluruh sektor,” kata beliau.
Butirannya akan dikongsi kelak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg