Lebih ramai pelajar akan dibenarkan mempelajari bahasa ibunda mereka (MTL) – Cina, Melayu atau Tamil – di peringkat yang lebih tinggi di sekolah menengah sebagai sebahagian daripada usaha yang akan dimulakan dalam beberapa tahun akan datang untuk tingkatkan pendidikan dwibahasa, umum Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Berkata demikian semasa berucap di Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) ke-13 di Pusat Konvensyen Suntec City pada 14 September, Encik Chan berkata murid yang berjaya dalam mata pelajaran Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) akan dapat mengambil bahasa ibunda lanjutan (HMTL) dalam Menengah 1, tanpa mengira markah keseluruhan PSLE mereka, mulai 2026.
Ia adalah perubahan daripada sistem semasa, di mana murid mesti berjaya dalam semua empat mata pelajaran – Bahasa Inggeris, matematik, sains dan bahasa ibunda – dalam PSLE bagi melayakkan diri untuk belajar HMTL di sekolah menengah.
Encik Chan berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah perlu, tetapi ia sendiri tidak mencukupi untuk masyarakat Singapura.
Memandangkan kepentingan dan faedahnya kepada Singapura, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk memelihara dwibahasa, katanya, dan cabaran masa depannya adalah bagi rakyat Singapura, khususnya golongan muda, dalam memperoleh kemahiran dalam bahasa ibunda mereka.
Kementerian Pendidikan (MOE) juga akan meningkatkan usaha mendedahkan pelajar kepada bahasa ibunda sejak awal kehidupan.
Langkah tambahan akan diambil MOE bagi menyokong pelajar pelajari bahasa ibunda di peringkat prasekolah dan sekolah rendah bagi memartabatkan dwibahasa dalam sistem pendidikan mulai 2025.
Encik Chan berkata ini termasuk program perintis di dua tadika MOE bagi tingkatkan masa pendedahan bahasa ibunda sehingga 30 minit – daripada sejam kepada sejam setengah sehari – dan program baca secara berperingkat.
“Melangkaui sekolah, kedwibahasa juga mempunyai manfaat yang berlanjutan sepanjang hayat. Kedwibahasaan boleh kurangkan penuaan otak dalam jangka panjang dan lengahkan permulaan masalah Alzheimer.
“Memandangkan betapa penting dan manfaatnya kedwibahasaan, saya juga rasa bimbang sekiranya masyarakat kita kurang berdwibahasa berbanding sebelum ini.
“Ternyata, cabarannya adalah untuk kita kekal berdwibahasa, terutama di kalangan belia kita untuk mahir dalam MTL. Kita perlu lakukan lebih banyak untuk kekalkan aset penting ini,” jelas Encik Chan.
Encik Chan berkata program perintis MOE menambah pendedahan MTL di dua tadika selama 30 minit akan menawarkan peluang kepada kanak-kanak pelajari dan gunakan bahasa ibunda dan membina asas kukuh bagi pembelajaran bahasa dalam tahun-tahun mendatang.
MOE akan jalankan program perintis di tadika MOE MK@Hougang dan MK@Elias Park sebelum ia ditingkatkan secara beransur, katanya dalam satu kenyataan pada 14 September.
Menurut Encik Chan, projek perintis itu akan dipertingkat kepada lebih banyak tadika MOE dan ia akan meneroka tambahan masa kurikulum MTL dengan operator prasekolah.
Sementara itu di peringkat sekolah rendah, MOE akan laksanakan satu program membaca yang dipanggil MTL Soar.
Usaha ini diharap dapat menanam minat, membuka minda, menghargai akar budaya dan mereka dapat bangkit sebagai pembaca dwibahasa, kata Encik Chan.
Bagi program MTL SOAR, Encik Chan berkata pihaknya akan sediakan sumber membaca kepada pelajar mengikut gred, merentas genre dan topik untuk kanak-kanak kecil.
“Ini akan melengkapkan kurikulum dan buku teks yang sedia ada agar pelajar dapat menggunakan dan meluaskan apa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah,” ujar beliau.
Mengenai langkah meluaskan subjek HMTL kepada lebih ramai pelajar di peringkat menengah satu, Encik Chan akur terdapat beberapa pelajar hari ini yang tidak memenuhi kriteria kelayakan PSLE namun diberi peluang oleh sekolah menengah mereka untuk mengambil HMTL.
“Pelajar sebegini telah mendalami minat mereka terhadap HMTL, dan selesa dengan HMTL Peringkat ‘O’, tanpa menjejas kelakonan akademik keseluruhan mereka,” tambahnya.
Selain itu, Encik Chan turut menekankan kepentingan mempelajari MTL melangkaui bilik darjah.
Menurutnya usaha pendidikan membangunkan keupayaan MTL dalam kalangan belia tidak cukup, jika bahasa tersebut tidak kerap digunakan dalam kehidupan harian.
“Pendekatan seluruh masyarakat penting bagi menjadikan MTL bahasa harian, di mana pelajar gunakan MTL dalam kehidupan sebenar,” katanya.
Pada masa yang sama MOE juga akan meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pendidikan (EdTech) bagi meluaskan ruang bagi pelajar menggunakan MTL, kata Encik Chan.
Beliau juga menambah bahawa pembelajaran bahasa ibunda mesti melangkaui bilik darjah dan kementerian akan meneroka penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi pendidikan (EdTech) untuk membantu memperbesar ruang untuk pelajar menggunakan bahasa ibunda.
Di MTLS itu juga seramai 14 guru bahasa ibunda prasekolah telah diiktiraf dan menerima Anugerah Guru Bahasa Ibunda Prasekolah Cemerlang (OPMTL) yang diberikan setiap tahun.
Turut hadir semasa MTLS itu ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang; dan Anggota Parlimen GRC Sembawang, Encik Vikram Nair, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Tamil (TLLPC).
“
“Usaha pendidikan untuk membangunkan penguasaan belia kita dalam bahasa ibunda tidak akan mencukupi, jika bahasa tersebut tidak digunakan secara kerap dalam kehidupan seharian. Pendekatan keseluruhan masyarakat adalah perlu untuk menjadikan bahasa ibunda bahasa yang hidup, yang mana pelajar menggunakan bahasa ibunda dalam kehidupan sebenar.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg