Garis panduan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) yang menerangkan amalan penjagaan yang sesuai untuk ibu bapa dan kanak-kanak ditujukan kepada karyawan dalam sistem perlindungan kanak-kanak yang bekerja secara langsung dengan keluarga berisiko.
Ini termasuk kanak-kanak yang pernah mengalami atau berisiko mengalami penderaan, pengabaian atau kecederaan.
Demikian respons jurucakap MSF bagi menjawab pertanyaan mengenai pengguna garis panduan dan pakar yang dirujuk dalam proses itu.
Ini berikutan laporan The Straits Times (ST) pada 5 Disember mengenai panduan pertama untuk pengamal, yang memberi cadangan dalam aspek seperti menzahirkan kasih sayang, privasi dan kebersihan diri.
Garis panduan tersebut diumumkan semasa Persidangan Keluarga Asia pada November.
“Garis panduan mengenai batasan keluarga yang sihat” menyatakan, misalnya, adalah tidak sesuai bagi ibu bapa untuk memandikan anak yang berlainan jantina secara berkala apabila dia sudah mampu melakukannya, serta memaksa anak menunjukkan kasih sayang fizikal kepada individu yang membuatkan mereka tidak selesa.
Garis panduan itu ditujukan kepada pengamal perkhidmatan sosial dari pusat khidmat keluarga, pusat pakar perlindungan kanak-kanak, karyawan penjagaan kesihatan seperti pakar pediatrik dan pekerja sosial perubatan, serta kaunselor sekolah dan pegawai kebajikan pelajar, kata MSF.
Menurut kementerian tersebut, panduan itu dihasilkan setelah menerima laporan atau pertanyaan daripada karyawan dan ibu bapa mengenai kesesuaian beberapa amalan keibubapaan dalam tugas memberi perlindungan kepada kanak-kanak.
Antara yang dilaporkan termasuk ibu bapa yang memandikan anak berusia lapan tahun yang berlainan jantina, walhal anak tersebut mampu untuk mandi sendiri, serta ibu atau bapa yang tidur di katil yang sama dengan anak berusia 13 tahun meskipun anak itu berasa tidak selesa.
Walaupun ibu bapa berkata mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka boleh memudaratkan, MSF atau karyawan yang terlibat perlu menasihati mereka supaya mengekalkan batasan yang sihat dengan anak mereka, kata MSF.
Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak sentiasa dipaksa ibu bapanya memeluk atau mencium seseorang yang membuatkannya tidak selesa, ia boleh menyebabkan kanak-kanak itu menahan perasaannya dan menjadi kurang cenderung untuk melaporkannya.
MSF berkata garis panduan itu akan diedarkan kepada karyawan perlindungan kanak-kanak bagi memastikan pendekatan yang konsisten dalam melindungi kanak-kanak.
Garis panduan tersebut tidak bertujuan untuk dikuatkuasakan atau dijadikan sebagai peraturan merentas semua konteks keibubapaan, sebaliknya ia berfungsi sebagai sumber keibubapaan tambahan untuk pengamal, tambahnya.
Bagi keluarga yang menghadapi keadaan khusus, seperti mereka yang mempunyai anak yang lebih tua dan kurang berupaya, atau ibu bapa tunggal, karyawan akan membantu keluarga ini dalam memastikan keperluan penjagaan harian kanak-kanak dipenuhi, sambil mengekalkan batasan keluarga yang sihat.
MSF mengambil masa sekitar setahun untuk menghasilkan garis panduan itu hasil rundingan dengan pakar dalam bidang berkaitan, seperti pediatrik dari Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH), pemimpin agama, pekerja sosial, serta Cawangan Bimbingan Kementerian Pendidikan yang menyelia kaunselor sekolah dan pegawai kebajikan pelajar.
Ini bagi memastikan garis panduan itu praktikal untuk keluarga dalam sistem perlindungan kanak-kanak, jelas MSF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg