Kes penderaan teruk yang melibatkan kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah telah merosot dari 2021 hingga 2023, menurut Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Kes sedemikian, yang dikategorikan sebagai Tahap 2, merosot daripada 2,141 kes pada 2021 kepada 2,011 pada 2023.
Sebahagian besarnya merangkumi seramai 395 kanak-kanak lelaki dan 407 kanak-kanak perempuan, kededuanya berumur 0 hingga 6 tahun.
Namun, perangkaan laporan sama juga menunjukkan penderaan fizikal bagi kes melibatkan golongan tersebut telah meningkat.
Tahap 2 diawasi MSF bagi campur tangan siasatan berkanun dan kes sedemikian menimbulkan kebimbangan keselamatan dan risiko yang tinggi bagi mereka yang rentan dan mungkin perlukan campur tangan secara langsung.
Sementara itu, kes penderaan kurang teruk melibatkan kanak-kanak dilaporkan meningkat dari 2,377 pada 2021 kepada 2,787 pada 2023.
Kes kurang teruk dikategorikan sebagai Tahap 1 yang diawasi agensi masyarakat seperti Pusat Khidmat Keluarga (FSC), Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak (CPSC) dan Pusat Pakar Perlindungan termasuk Khidmat Bersepadu bagi Pusat Pakar Perlindungan Individu dan Keluarga.
Semua perangkaan itu dikongsi Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, semasa sidang media yang diadakan di bangunan MSF pada 26 September.
Dikeluarkan buat kali pertama, laporan itu merupakan hasil kerjasama antara MSF dengan agensi masyarakat seperti CPSC, Pusat Pakar Perlindungan dan FSC.
Kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun merupakan kumpulan terbesar daripada jumlah kes kurang teruk pada 2023, dengan 628 daripadanya kanak-kanak lelaki dan 526 kanak-kanak perempuan.
Cik Sun berkata: “Bilangan kes penderaan kanak-kanak membimbangkan. Kami lihat jenis penderaan utama terhadap kanak-kanak adalah dalam bentuk penderaan fizikal.”
Penderaan fizikal yang dilaporkan sebagai jenis penderaan yang biasa dan ia meningkat dari 788 kes pada 2021 kepada 888 pada 2023.
“Kami sedari peranan ibu bapa dalam mendisiplinkan anak mereka. Namun, ia tidak harus melampaui batas. Ini dapat dilihat jika terdapat luka terbuka dan tanda penderaan pada kanak-kanak itu,” jelas Cik Sun.
Beliau turut tekankan kepentingan dalam “memastikan bentuk disiplin berkadar dengan tingkah laku anak, dan disiplin secara berlebihan yang menyebabkan kecederaan kepada anak tidak boleh diterima sama sekali.”
Dalam kes sedemikian, Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak MSF akan menyiasat dan mahkamah memutuskan perkara itu, ujarnya.
MSF turut berkongsi bilangan bagi kes penderaan dalam kalangan pasangan berumah tangga.
Kes kurang teruk (Tahap 1) meningkat dari 1,632 pada 2021, kepada 2,008 pada 2023.
“Ini bermaksud semakin ramai yang mengetahui tentang perkhidmatan dan sokongan yang ada untuk mangsa penderaan, dan rela buat laporan mengenainya,” kata MSF.
Tiada laporan bagi kes Tahap 2 kerana golongan dewasa lebih berkemampuan memutuskan cara menjaga keselamatan diri dengan sokongan masyarakat.
Bagi golongan warga emas pula, MSF membahagikannya kepada dua – penderaan warga emas sebagai Tahap 1 dan penderaan warga emas rentan sebagai Tahap 2.
MSF mentakrifkan warga emas sebagai seseorang berusia 65 tahun dan ke atas sementara warga emas rentan adalah mereka yang mempunyai kelemahan mental atau fizikal, kecacatan atau ketidakupayaan dan tidak berupaya melindungi dirinya daripada penderaan, pengabaian atau pengabaian diri.
Kes penderaan warga emas meningkat dari 283 kes pada 2021 kepada 297 pada 2023 manakala kes penderaan warga emas rentan merosot dari 84 pada 2021 kepada 42 pada 2023.
Bagi kes penderaan dewasa (18 hingga 64 tahun) yang rentan (tahap 2) dilaporkan merosot hampir separuh daripada 42 pada 2021 kepada 23 pada 2023.
Jumlah bagi kes golongan orang dewasa yang rentan dan mencederakan diri mereka sendiri merosot hampir separuh, daripada 48 kes pada 2022 kepada 28 kes pada 2023. Golongan itu mengabaikan keperluan asas, mengalami fizikal yang tidak dirawat, penyakit mental atau kecederaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg