Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GE Vernova akan labur $27.4j dalam loji baiki turbin gas S’pura

Langkah bakal wujudkan 100 kerja baru rangkumi peranan jurutera, pakar dan pengendali berkemahiran
Jan 6, 2025 | 8:08 PM
Syarikat GE Vernova berkata pelaburan mereka untuk memperluaskan kemudahan GE Repair Solutions Singapore (GRSS) akan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baru bagi jurutera, pakar dan pengendali berkemahiran dalam tempoh lima tahun akan datang.
Syarikat GE Vernova berkata pelaburan mereka untuk memperluaskan kemudahan GE Repair Solutions Singapore (GRSS) akan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baru bagi jurutera, pakar dan pengendali berkemahiran dalam tempoh lima tahun akan datang. - Foto AFP

GE Vernova akan melabur AS$20 juta ($27.4 juta) untuk memperluaskan kemudahan GE Repair Solutions Singapore (GRSS), sekali gus mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baru, kata syarikat gergasi kuasa sejagat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu pada 6 Januari.

Syarikat itu berkata pelaburan itu akan meningkatkan kapasiti GRSS untuk membaiki turbin gas berkecekapan tinggi, disejukkan udara (HA) GE Vernova (GEV) yang berkembang pesat di Asia dan di tempat lain.

Dengan sekitar 25 peratus tenaga elektrik dunia dijana oleh pelanggannya, syarikat itu berkata ia berada dalam kedudukan unik untuk menerajui peralihan tenaga dan menyelesaikan trilema (tiga dilema) tenaga, iaitu keandalan, kemampuan dan kemampanan, lapor The Straits Times.

GEV mempunyai lebih 7,000 turbin gas yang dipasang di seluruh dunia, termasuk beberapa turbin terbesar dan paling cekap seperti turbin HA, yang mampu beroperasi dengan campuran hidrogen dan gas asli – menghasilkan pelepasan yang lebih rendah daripada menggunakan gas asli sahaja.

“Sedang Asia semakin beralih daripada penjanaan kuasa arang batu kepada sumber tenaga yang lebih bersih, turbin gas HA termaju GEV akan membantu menyokong peralihan penting ini, melengkapkan sumber tenaga boleh diperbaharui,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

GEV berkata peluang pekerjaan baru yang diwujudkan di GRSS akan merangkumi peranan untuk jurutera, pakar dan pengendali berkemahiran dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Peluasan ini juga akan memacu inovasi berterusan dalam teknologi pembaikan HA, mengukuhkan landskap tenaga Singapura dan memupuk bakat tempatan dalam huraian pembaikan dan penyelenggaraan termaju,” katanya.

GRSS yang diperluaskan itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai hab tenaga global.

“Pelaburan ini mengukuhkan kedudukan GRSS sebagai pusat pembangunan pembaikan HA pertama di luar Amerika, dan satu daripada hanya tiga pusat khidmat rotor tugas berat di seluruh dunia.

“Ia mengukuhkan lagi peranan penting Singapura sebagai peneraju dalam inovasi tenaga dan keupayaan pembaikan, menyokong pelanggan global GEV,” kata syarikat itu.

Perkembangan terkini GRSS terbina berdasarkan pelaburan terdahulu – termasuk pengumuman pada 2019 untuk melabur sehingga AS$60 juta dalam tempoh 10 tahun untuk menjadikan pusat perkhidmatan pembaikan global di Singapura peneraju dunia dalam pembangunan, pelaksanaan dan pembaikan teknologi penjanaan kuasa.

“Pembiayaan terbaru ini menjadikan jumlah pelaburan GEV dalam GRSS kepada hampir AS$100 juta sepanjang enam tahun lalu, meletakkan kemudahan itu dalam kedudukan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan baik sehingga 2030 dan seterusnya,” kata syarikat itu.

Pasaran turbin gas sedang berkembang pesat di seluruh dunia, didorong oleh peralihan daripada pembakaran arang batu dan minyak dan keperluan untuk memastikan kesinambungan bekalan elektrik pada hari gelap serta tanpa angin, apabila operasi panel suria dan turbin angin akan mati.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang berpangkalan di Paris menganggarkan bahawa penggunaan elektrik meningkat dua kali ganda kadar permintaan tenaga keseluruhan sepanjang dekad lalu.

Pada 2025, penggunaan elektrik dijangka meningkat enam kali ganda berbanding 2024, hasil daripada peningkatan penggunaan kenderaan elektrik, keperluan meningkat untuk alat hawa dingin, loji semikonduktor baru dan tambahan dalam pusat data untuk membolehkan kecerdasan buatan (AI), kata IEA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg