Parti Kemajuan Singapura (PSP) berdepan cabaran sukar di GRC West Coast-Jurong West yang baru di Pilihan Raya Umum akan datang, kata Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) PSP, Encik Leong Mun Wai.
“41,000 penduduk baru kini diberikan kepada kami. Kami telah berkhidmat secara amat rapat kepada penduduk di Telok Blangah dalam tempoh empat tahun lalu, tetapi mereka telah dikeluarkan,” kata Encik Leong.
Beliau berkata demikian semasa merujuk kepada perubahan sempadan kawasan undi yang diumumkan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.
Laporan itu menyatakan pembentukan GRC West Coast-Jurong West dengan menggabungkan estet perumahan di Taman Jurong dan Jurong Spring dari GRC Jurong dengan GRC West Coast. Pada masa yang sama, beberapa estet perumahan di Telok Blangah dan Dover pula dikeluarkan.
GRC West Coast-Jurong West adalah kawasan undi lima anggota dan mewakili 158,581 pengundi. Ini lebih tinggi daripada 144,516 pengundi dalam GRC West Coast pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020)
Pada GE2020, pasukan PSP yang bertanding di GRC West Coast tewas selepas meraih 48.32 peratus undi, berbanding 51.68 peratus undi diraih Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Encik Leong, yang bertanding di GRC West Coast pada GE2020, berkata tempoh persiapan untuk pilihan raya akan datang adalah “sangat singkat” dan oleh itu, parti itu perlu “mempersiapkan usaha mendekati penduduk Jurong” yang kini akan mengundi dalam GRC baru.
GE2025 perlu diadakan sehingga November, tetapi ia dijangka diadakan sekitar pertengahan 2025.
Encik Leong berkata pengasas dan pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock mempunyai rekod yang kuat di barat Singapura dan PSP akan berusaha sebaik yang mampu untuk mendekati setiap penduduk menjelang GE2025.
Encik Leong berkata demikian semasa bercakap dengan wartawan apabila PSP mengadakan sesi bertemu penduduk di Taman Jurong pada pagi 16 Mac.
Selain Encik Leong dan Dr Tan, ketua PSP, Cik Hazel Poa dan sekitar 50 relawan turut hadir untuk berinteraksi dengan penduduk dan mengagih-agihkan risalah parti di Pasar dan Pusat Makanan Taman Jurong.
Bercakap kepada media selepas lawatan tersebut - yang pertama bagi PSP di Taman Jurong sejak laporan EBRC dikeluarkan - Cik Poa berkata: “Taman Jurong merupakan kubu kuat PAP pada pilihan raya lalu, dan kini kawasan ini telah diperluas. Mereka telah menetapkan standard yang lebih tinggi, namun kami akan bangkit menghadapinya.
Sementara itu, Dr Tan berkata ramai penduduk mengenalinya dari zaman beliau berkhidmat sebagai doktor di kampung Ama Keng, walaupun beliau akur PSP kini perlu memulakan semula usaha mendekati penduduk di tempat baru.
Beliau dan PSP akan terus berjuang di mana-mana sahaja, kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg