Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelagat murid tadika bantu nenek ‘niaga’ di Tampines cuit hati netizen

Mar 24, 2025 | 5:36 PM
Murid Tadika 2 (K2), Affan Muhammad Amin, menggunakan mikrofon untuk mengajak orang ramai supaya membeli makanan dari gerai keluarganya, Selera Ramadhan by Cik Mah, di Blok 201D, Tampines Street 21.
Murid Tadika 2 (K2), Affan Muhammad Amin, menggunakan mikrofon untuk mengajak orang ramai supaya membeli makanan dari gerai keluarganya, Selera Ramadhan by Cik Mah, di Blok 201D, Tampines Street 21. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK AFFY437

“Jangan gaduh-gaduh, beli saja gado-gado!”

Ungkapan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu telah mencuri perhatian ramai netizen di TikTok.

Dalam video itu, Affan Muhammad Amin, yang masih berpakaian seragam sekolah, berdiri di hadapan gerai neneknya, Selera Ramadhan by Cik Mah, yang terletak di Blok 201D, Tampines Street 21.

Sambil memegang mikrofon dan berdiri di atas bongkah konkrit yang bertindak sebagai pentas kecil, murid Tadika 2 (K2) itu mengajak orang ramai supaya membeli juadah yang dimasak neneknya, Cik Marhamah Osman, 66 tahun.

Ia termasuk nasi tomato, ayam masak merah, rendang, serta makanan ringan seperti epok-epok dan gado-gado.

Keletahnya yang penuh yakin berjaya menarik perhatian dua orang pelanggan, yang pada awalnya sudah berjalan menjauhi gerai itu, tetapi berpatah balik untuk melihat makanan yang ditawarkan.

Gelagat Affan yang bersahaja namun berkesan sebagai seorang ‘jurujual cilik’ juga mendapat pujian di TikTok.

Netizen kagum dengan keberanian dan bakat pemasaran semula jadinya untuk menarik pelanggan.

Ada yang meninggalkan komen seperti: “Dia akan menjadi pemilik perniagaan yang berjaya satu hari nanti,” dan ada yang berseloroh dengan berkata: “10 tahun pengalaman kerja pada usia 18 tahun.”

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Affan berkata bahawa dia berasa seronok dapat membantu keluarganya berniaga.

“Saya rasa gembira dapat tolong keluarga saya,” katanya.

Menurut Cik Marhamah, gerainya yang terletak berdekatan dengan restoran Saffrons, dibuka setiap hari sehingga 29 Mac, dari 3 petang hingga 6.15 petang.

Menurut beliau, anak dan menantu membantunya untuk menguruskan gerai, manakala beliau memasak hidangan untuk dijual dari rumahnya.

“Saya pernah mengendalikan gerai di Bazar Ramadan Geylang Serai pada awal 2000-an bersama arwah suami saya.

“Pada masa itu, gerai kami terkenal dengan hidangan ayam lada hitam. Saya rindu nak berniaga, jadi kami sekeluarga mendirikan gerai ini untuk melepaskan rasa rindu itu,” jelasnya.

Cik Marhamah bergurau sambil menyatakan bahawa Affan merupakan usahawan generasi ketiga dalam keluarganya.

Malah, darah niaga mengalir dalam keluarganya.

Beliau mempunyai seorang anak lelaki yang mengikut jejaknya, berkecimpung dalam perniagaan makanan menerusi jenama, Gentlemen Bros, yang menjual burger.

Berhubung tentang cucunya pula, Cik Marhamah menambah: “Walaupun masih muda, Affan menunjukkan rasa ingin tahu terhadap pelbagai jenis makanan yang kami jual.”

Menurut Cik Marhamah, cucunya itu sering bertanya tentang setiap juadah.

Menerusi dialog santai itu, Affan diberi pendedahan tentang pelbagai aspek perniagaan keluarga mereka.

Menyedari dirinya terlalu muda untuk mengendalikan perniagaan secara menyeluruh, Affan memilih untuk membantu mempromosikan gerai itu dengan mikrofonnya, yang mencuit hati ramai menerusi video viral TikTok itu.

Cik Marhamah percaya bahawa pengalaman yang diperolehi Affan itu bukan sahaja bermanfaat untuk perniagaan keluarga, malah akan membantu meningkatkan kemahirannya berucap baik di sekolah atau pada masa depan.

“Saya pernah mengendalikan gerai di Bazar Ramadan Geylang Serai pada awal 2000-an bersama arwah suami saya. Pada masa itu, gerai kami terkenal dengan hidangan ayam lada hitam. Saya rindu nak berniaga, jadi kami sekeluarga mendirikan gerai ini untuk melepaskan rasa rindu itu...  Walaupun masih muda, Affan menunjukkan rasa ingin tahu terhadap pelbagai jenis makanan yang kami jual.”
Cik Marhamah Osman, nenek kepada Affan Muhammad Amin, enam tahun.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg