Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kad Hari Raya dari penjara ubati rindu keluarga banduan

Mar 15, 2025 | 8:24 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah); setiausaha kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani, Cik Haslinda Putri Harun; dan  pengasas Kamal Arts Limited, Encik Kamal Dollah, menyertai Cik Siti (bukan nama sebenar) sekeluarga melukis batik semasa Projek Pelita Hati di Kamal Arts Studio pada 15 Mac.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah); setiausaha kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani, Cik Haslinda Putri Harun; dan pengasas Kamal Arts Limited, Encik Kamal Dollah, menyertai Cik Siti (bukan nama sebenar) sekeluarga melukis batik semasa Projek Pelita Hati di Kamal Arts Studio pada 15 Mac. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Air mata Farah (bukan nama sebenar) menitis perlahan ketika membaca kad Hari Raya yang ditulis oleh bapanya yang berada dalam penjara. Kata-kata rindu dan semangat dalam kad itu menyentuh ruang hatinya, mengeluarkan emosi yang lama terpendam.

“Saya sangat sedih kerana saya rindu ayah saya. Saya bersyukur dapat membaca kata-kata semangat daripadanya walaupun kami berjauhan,” ujar Farah, 14 tahun, anak sulung dalam keluarga tiga adik-beradik.

Farah dan adik-adiknya antara anak daripada sembilan keluarga yang menerima kad Hari Raya daripada ibu bapa mereka yang sedang menjalani hukuman penjara. Kad tulisan banduan kepada keluarga mereka itu adalah inisiatif ‘Projek Pelita Hati’ anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).

Ia diusahakan dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan kempen Dadah Itu Haram di bawah naungan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Edisi 2025 inisiatif itu, yang diusahakan dengan kerjasama Kamal Arts Limited, berlangsung pada 15 Mac di Kamal Arts Studio.

Di sisi Farah, ibunya, Cik Siti (bukan nama sebenar), turut terharu. Menurut Cik Siti, suaminya menjalani hukuman penjara kira-kira 15 tahun sejak 2022 kerana kesalahan dadah.

“Harapan saya ialah suami saya berubah menjadi lebih baik dan sentiasa berada dalam kehidupan anak kami apabila beliau keluar penjara.

“Anak bongsu saya sering bertanyakan tentang kepulangan ayahnya… dia masih kecil jadi dia belum lagi memahami keadaan sebenar,” ujar Cik Siti, pencari nafkah tunggal keluarganya. Beliau mempunyai dua lagi anak berusia 11 dan 6 tahun.

Setiausaha Kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), Cik Haslinda Putri Harun, berharap Projek Pelita Hati dapat merapatkan hubungan antara banduan dengan anak mereka menerusi kiriman kad Hari Raya.
Setiausaha Kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), Cik Haslinda Putri Harun, berharap Projek Pelita Hati dapat merapatkan hubungan antara banduan dengan anak mereka menerusi kiriman kad Hari Raya. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, Projek Pelita Hati berharap dapat merapatkan hubungan antara banduan dan anak mereka menerusi kiriman kad Hari Raya.

“Kanak-kanak yang mempunyai ibu atau bapa yang dipenjarakan sering mendambakan kemesraan. Kami harap kad tulisan ikhlas itu dapat membantu,” ujarnya.

Sebelum membaca kad Hari Raya, kanak-kanak dan keluarga mereka melukis batik dengan dibimbing pengasas Kamal Arts Limited, pelukis batik tempatan Kamal Dollah.

Cik Haslinda berkata melukis boleh membantu kanak-kanak tersebut melalui perubahan besar dalam kehidupan mereka.

“Kami harap kanak-kanak ini dapat rewrite, atau melukis semula, pengalaman keluarga mereka yang negatif kepada yang lebih positif,” ujar beliau.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata pemerintah akan meneruskan usaha untuk memberi sokongan keluarga kepada para banduan dan anggota keluarga mereka.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata pemerintah akan meneruskan usaha untuk memberi sokongan keluarga kepada para banduan dan anggota keluarga mereka. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Acara sempena Ramadan yang menandakan ulang tahun ke-20 HGEF itu disertai tetamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

“Keluarga adalah institusi penting dalam pembangunan masyarakat dan negara kita. Justeru, dengan kad tulisan daripada ibu atau bapa yang berada dalam penjara, anak-anak mereka dapat melepaskan kerinduan.

“Saya harap inisiatif seperti ini mengeratkan lagi hubungan mereka dan saya sangat menyokong usaha HGEF.

“Bagi pihak pemerintah, kami akan meneruskan usaha memberi sokongan kepada banduan dan keluarga mereka, terutama anak-anak mereka agar mereka boleh meneruskan pembangunan mereka,” ujar Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg