Topik diikuti
Pergi ke BHkuGelaran ‘Profesor’ ibu kini semakin hampir jadi kenyataan
Gelaran ‘Profesor’ ibu kini semakin hampir jadi kenyataan
Apa yang dilafazkan seorang ibu itu ibarat suatu doa. Bagi Encik Muhamad Mamfizam Ismail, gelaran ‘Profesor’ yang diberi ibunya sejak kecil kini kian hampir menjadi kenyataan.
Jauh sebelum universiti terlintas dalam fikirannya, ibunya sudah mesra memanggilnya ‘Profesor’, mungkin kerana beliau berkaca mata, gemar membaca dan sering menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer keluarga.
Ketika itu, ia sekadar gelaran manja. Hari ini, gelaran tersebut semakin hampir menjadi kenyataan.
Anak bongsu daripada dua beradik itu menemui cintanya terhadap sejarah bukan menerusi buku teks yang tebal, tetapi ketika mengatur bala tentera dan membina tamadun dalam permainan video seperti ‘Total War’ dan ‘Civilization’.
Mahasiswa pertama dalam keluarganya, Encik Mamfizam, yang pernah menganggap universiti sebagai impian yang jauh daripada jangkauan, kini bakal melanjutkan pengajian Sarjana Falsafah (MPhil) dalam Sejarah Dunia di Universiti Cambridge.
Beliau merupakan penerima Biasiswa Allauddin Masjid Khalid 2026, sekali gus penerima kedua sejak biasiswa itu dilancarkan pada April 2023.
Bagi Encik Mamfizam, 26 tahun, perjalanan itu tidak pernah dirancang sejak awal.
Ayahnya bekerja sebagai pelukis semburan industri, manakala ibunya, yang kini separuh bersara, pernah bekerja sebagai pegawai keselamatan di Lapangan Terbang Changi selama hampir sedekad.
Meskipun beliau merupakan mahasiswa pertama dalam keluarga, beliau berkata tiada tekanan besar daripada ibu bapanya untuk cemerlang dalam pendidikan.
Malah, pesanan ibunya cukup mudah: lulus Matematik - subjek yang sering menjadi cabarannya ketika kecil.
“Universiti terasa seperti sesuatu yang jauh kerana tiada seorang pun dalam keluarga saya, termasuk saudara-mara, pernah melalui laluan maktab rendah,” katanya.
Oleh itu, menjadi orang pertama dalam keluarga ke universiti ibarat meneroka sesuatu yang tidak diketahui, tambahnya.
Namun, minat terhadap sejarah terus berkembang daripada permainan video kepada bilik darjah, dibantu guru-guru sejarah yang memberi galakan kepadanya di sekolah menengah dan maktab rendah.
Ketika mengikuti program pertukaran di Amerika Syarikat pula, pertemuannya dengan Profesor Cemil Aydin di University of North Carolina membuka jalan kepada bidang penyelidikannya hari ini.
Di Cambridge, Encik Mamfizam akan mendalami kajian mengenai kebangkitan Islam dan autoriti agama, khususnya bagaimana idea-idea tersebut tersebar merentasi dunia Islam ke Malaysia sekitar 1970-an dan 1980-an.
Kajian itu berkembang daripada tesis sarjana mudanya di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang meneliti pemikiran dua tokoh bersaudara, Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Syed Hussein Alatas, dalam memahami kebangkitan Islam di Malaysia.
Namun, cintanya terhadap sejarah tidak terhenti dalam dunia akademik.
Sejak 2023, beliau turut menjadi penyelidik sukarela bersama Ambin Ubin, merakam sejarah lisan penduduk Pulau Ubin.
Minat itu lahir daripada satu kehilangan peribadi. Selepas datuk dan neneknya meninggal dunia, Encik Mamfizam menyedari banyak kisah mengenai asal-usul keluarganya tidak sempat dirakam.
“Kalau saya tidak sempat melakukannya untuk keluarga sendiri, saya boleh membantu orang lain melakukannya untuk keluarga mereka,” katanya.
Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai satu “perlumbaan dengan masa”, sedang penduduk semakin berusia dan kisah mereka berisiko hilang bersama pemergian mereka.
Di sebalik pencapaiannya, Encik Mamfizam berkata cabaran terbesarnya kekal sama, mempercayai kemampuan diri sendiri.
Daripada seorang pelajar yang pernah tertanya-tanya sama ada mampu bertahan di maktab rendah, beliau kini bakal memasuki apa yang disifatkannya sebagai “lautan terbesar” di Cambridge.
Selepas tamat pengajian, beliau berharap dapat mengajar dan membimbing anak muda lain untuk turut berani bermimpi.
Pesannya kepada ‘Profesor’ cilik yang pernah duduk berjam-jam di hadapan komputer juga ringkas:
“Teruskan. Mungkin sekarang susah, tetapi percayalah bahawa anda sebenarnya baik-baik sahaja.”