Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gembira damping warga emas, sambut golongan muda di Toa Payoh East

Saktiandi turut kongsi hobi petik gambar, gemar makan ulam dalam wawancara khas menjelang Pilihan Raya Umum 2025
Feb 8, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bergambar di Taman Permainan Naga atau ‘Dragon Playground’ di kawasan Toa Payoh East.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bergambar di Taman Permainan Naga atau ‘Dragon Playground’ di kawasan Toa Payoh East. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Hampir sedekad Encik Saktiandi Supaat berkhidmat sebagai anggota parlimen (AP) bagi kawasan Toa Payoh East dan dalam tempoh itu, beliau telah mengenali ramai penduduk, terutama warga emas, di bawah jagaannya.

Beliau telah melihat mereka meningkat umur dengan warga emas paling ‘senior’ kini berusia 110 tahun.

Beliau selesa dan gembira berinteraksi bersama mereka, malah telah mempelajari beberapa ayat ringkas dalam bahasa Mandarin, Hokkien dan Teochew agar dapat berbual dengan lebih mesra lagi.

“Kadangkala saya cuba selitkan beberapa perkataan Melayu ketika berbual dengan mereka. Ramai di antara mereka boleh berbahasa Melayu kerana pernah tinggal di kampung dahulu,” kata Encik Saktiandi, 51 tahun.

“Cuma kebelakangan ini saya sedih kerana ramai yang saya kenal mesra telah meninggal dunia,” tambahnya.

Berinteraksi dengan penduduk warga senja di Toa Payoh East adalah satu pengalaman yang amat dihargai Encik Saktiandi sepanjang sembilan tahun beliau berkhidmat di kawasan itu di bawah GRC Bishan-Toa Payoh.

Beliau mula berkhidmat sebagai AP di kawasan itu selepas Pilihan Raya Umum (GE) 2015, di mana pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dianggotainya menang 73.59 peratus undi. Pasukan itu turut dianggotai Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; dan  Encik Chong Kee Hiong.

Pada GE 2020, selepas GRC Bishan-Toa Payoh ditukar menjadi GRC empat anggota, Encik Saktiandi turut menganggotai pasukan PAP yang berjaya di sana, yang menang 67.23 peratus undi. Pasukan yang sama dikekalkan, kecuali Cik Teo yang bertanding di GRC Jalan Besar.

Menurut Encik Saktiandi, kawasan Toa Payoh East secara purata mempunyai penduduk yang berumur antara 40 dengan 60 tahun. Namun ramai juga penduduk di sana, sekitar 30 peratus, berusia 60 tahun ke atas dengan ramai di kalangan mereka telah tinggal di Toa Payoh sejak 1970-an.

Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan, Encik Saktiandi berkata pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan itu telah menarik ramai keluarga muda untuk tinggal di sana.

“Saya lihat lebih ramai keluarga muda dengan anak-anak kecil. Saya alu-alukan anak muda Melayu kita pun tinggal di sini. Mungkin harga rumah di sini lebih tinggi tapi lokasinya amat baik kerana terletak di kawasan tengah Singapura... mudah untuk mereka ke bahagian lain Singapura kerana terhubung dengan baik daripada segi pengangkutan,” katanya.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, memberi limau kepada penghuni rumah penjagaan warga emas United Medicare Centre (Toa Payoh) pada 11 Januari 2025.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, memberi limau kepada penghuni rumah penjagaan warga emas United Medicare Centre (Toa Payoh) pada 11 Januari 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Rai pembaharuan, hargai yang mapan

Selain kemudahan sedia ada, Encik Saktiandi berkata terdapat banyak rancangan untuk menyegarkan lagi Toa Payoh yang merupakan bandar satelit kedua dibangunkan pada 1960-an, selepas Queenstown.

Pembangunan Bersepadu Toa Payoh (TPID) yang dijangka siap pada 2030 misalnya akan dilengkapi kemudahan termasuk stadium untuk 10,000 penonton, poliklinik dan perpustakaan awam.

Kawasan Toa Payoh East dan Toa Payoh South pula akan mempunyai Kelab Masyarakat baru pada 2027 di sebelah Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

Dengan lebih banyak BTO dibina, Encik Saktiandi berkata prasarana dan perkhidmatan di kawasan sekeliling juga akan dipertingkat dengan lebih banyak prasekolah dan kemudahan lain disediakan.

Beliau sedar ramai yang menganggap Toa Payoh estet tua. Ia masih ada Taman Permainan Naga ikonik yang didirikan pada 1979.

“Tetapi banyak yang telah dan akan dilakukan untuk meningkatkan lagi kesegaran di sini. Mungkin juga di masa akan datang kita akan ada pusat beli-belah sendiri,” katanya.

Ketiadaan pusat beli-belah di kawasan Toa Payoh telah diutarakan penduduk kawasan itu yang ditinjau Berita Harian (BH), selain kekurangan pilihan makanan halal di sana.

Bagi penduduk Toa Payoh yang ingin berbelanja di pusat beli-belah atau menonton pawagam, mereka boleh ke Junction 8 di estet Bishan yang berdekatan. Pusat beli-belah Woodleigh Mall juga terletak tidak jauh dan menawarkan banyak pilihan tempat makan.

Mengenai kekurangan pilihan makanan halal di Toa Payoh, Encik Saktiandi menggalakkan lebih ramai keluarga Melayu/Islam berpindah ke estet itu agar lebih banyak kedai menjual makanan halal dapat disediakan.

Beliau turut mengajak peniaga Melayu/Islam membuka gerai di kawasan itu.

Menurut Encik Saktiandi, di kawasan Toa Payoh East terdapat beberapa gerai menjual makanan halal yang pemiliknya merupakan penduduk daerah itu.

Satu daripadanya ialah Kedai Makan Muhajirin di Blok 20 Toa Payoh Lorong 7 yang menjual nasi lemak $1 – harga yang tidak diubah sejak perniagaan itu dimulakan pada 1987.

Wawancara dengan Encik Saktiandi diadakan di kedai kopi yang menempatkan kedai itu.

Gerai itu antara yang menyertai inisiatif TEN Hot Meals yang dikelolakan oleh Encik Saktiandi sejak 2017 untuk penduduk Toa Payoh East Novena (TEN).

Di bawah program itu, gerai yang mengambil bahagian menawarkan makanan, minuman atau buah-buahan yang mereka jual pada harga yang disubsidi.

“Program ini mengajak warga emas keluar dari rumah mereka dan datang ke pusat penjaja atau kedai kopi. Kami berikan baucar TEN Hot Meals kepada warga emas yang memerlukan. Mereka hanya perlu ke gerai yang mengambil bahagian, tunjukkan baucar itu, dan boleh mendapat makanan panas secara disubsidi atau percuma,” kata Encik Saktiandi.

“Sambutan bagi program ini baik dan kami terus menjalankannya hingga ke hari ini. Yang penting saya rasa matlamatnya tulus, untuk menolong warga emas di sini. Daripada segi pembiayaan, ia tidak datang daripada pemerintah tetapi daripada penderma,” tambahnya.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, membeli nasi lemak $1 dari Kedai Makan Muhajirin di Blok 20 Toa Payoh Lorong 7.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, membeli nasi lemak $1 dari Kedai Makan Muhajirin di Blok 20 Toa Payoh Lorong 7. - Foto BH oleh KHALID BABA

Suka makanan kampung, minat fotografi

Berkait dengan topik makanan, Encik Saktiandi, ketika diminta berkongsi tentang perkara yang tidak ramai tahu tentang dirinya, berkata beliau suka makan ulam-ulaman.

Beliau berkata beliau tidak cerewet dengan makanan tetapi amat meminati ulam-ulaman sejak muda.

“Saya pernah tinggal di kampung selama sekitar 10 tahun. Nenek saya selalu masak lauk-pauk yang ada ulam. Sejak itu saya memang menghargai makanan Melayu kampung, termasuk makanan ulam. Sekarang susah nak dapat, ulam raja, pucuk paku. Kalau makan botok-botok, saya lebih suka botok-botok yang lebih banyak ulam daripada ikannya,” kongsi Encik Saktiandi.

Berkongsi lebih lanjut mengenai perkara tentang dirinya yang mungkin tidak diketahui ramai, Encik Saktiandi berkata beliau meminati fotografi, khususnya genre ‘street photography’ atau fotografi jalanan – satu amalan fotografi yang mana jurugambar merakam orang dalam kehidupan harian di tempat awam.

Beliau bukan sahaja telah mengikuti kursus berkaitan fotografi tetapi turut membeli buku mengenai fotografi untuk beliau menelaah bidang seni itu dengan lebih mendalam lagi.

“Saya memiliki beberapa kamera dan lensa seperti ‘prime lens’. Saya bukan kumpul kamera tapi saya suka memikirkan bagaimana untuk menggunakan kamera secara ‘manual’. Saya suka meneroka lensa kamera yang mana baik digunakan bagi mengambil gambar tertentu. Fotografi ada teorinya dan saya mendapati ia amat menarik,” kata Encik Saktiandi yang juga suka meneliti bagaimana jurugambar terkenal seperti Henri Cartier-Bresson menggunakan fotografi untuk mengambil gambar.

Gambar-gambar yang dipetiknya bagaimanapun hanya untuk tatapan beliau dan keluarga, dan disimpan di ‘cloud’ dalam talian.

“Jika saya bukan seorang anggota parlimen, mungkin setiap hari atau setiap minggu saya akan memuat naik gambar yang saya ambil di laman Instagram saya. Tapi saya tidak mahu menonjolkan gambar-gambar itu. Saya juga tidak rasa terlalu yakin bahawa kemahiran saya itu cukup baik. Tapi mungkin pada masa akan datang, saya akan berkongsi foto-foto yang telah saya ambil,” kata Encik Saktiandi sambil tersenyum.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, meminati fotografi, khususnya genre ‘street photography’ atau fotografi jalanan.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, meminati fotografi, khususnya genre ‘street photography’ atau fotografi jalanan. - Foto ihsan SAKTIANDI SUPAAT

Memandangkan beliau lebih dikenali ramai di Singapura, Encik Saktiandi juga akur agak sukar untuknya mengambil gambar ketika ‘jalan-jalan’ di luar.

“Saya lebih suka jalan-jalan di tempat yang orang tak tahu siapa saya, jadi saya boleh ambil gambar. Tapi susah sikit sekarang. Jadi apa yang saya buat adalah membaca buku fotografi, dan memahami cara menggunakan lensa tertentu. Saya juga lebih banyak mengambil gambar keluarga dan kucing saya buat masa ini,” katanya.

Selain mengambil gambar, Encik Saktiandi juga minat berbasikal.

Beliau mempunyai basikal lipat yang beliau gunakan untuk mengelilingi kawasan Toa Payoh East bersama kakitangan majlis bandaran sekali sebulan, selain berbasikal dengan rakan-rakannya.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bertanya khabar penduduk yang ditemui ketika berbasikal di kawasan Toa Payoh East.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bertanya khabar penduduk yang ditemui ketika berbasikal di kawasan Toa Payoh East. - Foto BH oleh KHALID BABA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg