Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rajin kayuh basikal dekati penduduk di Toa Payoh East

Feb 8, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, memulakan rutin berbasikal mengelilingi kawasan Toa Payoh bagi mendekati penduduk sejak 2016.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, memulakan rutin berbasikal mengelilingi kawasan Toa Payoh bagi mendekati penduduk sejak 2016. - Foto BH oleh KHALID BABA

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, mempunyai rutin bulanan tersendiri untuk mendekati penduduknya di Toa Payoh East.

Pada pagi Sabtu atau Ahad, beliau akan bersarapan di pusat penjaja atau kedai kopi di kawasan itu sambil bersembang dengan penduduk dan mendengar keprihatinan yang mereka utarakan atau bantuan yang mereka perlukan.

Kemudian beliau akan menunggang basikal lipat ke sepelosok Toa Payoh East agar dapat melihat sendiri apakah terdapat perkara yang perlu diperbaiki atau dipertingkat.

“Saya memulakan rutin berbasikal ini pada 2016. Saya menaiki basikal setiap bulan dengan kakitangan majlis bandaran. Saya memilih berbasikal berbanding berjalan kaki kerana ia membolehkan saya meliputi kawasan yang lebih besar.

“Dengan cara ini juga, saya dapat sampai ke kawasan lebih terpencil yang saya tidak akan dapat lalui dengan menaiki kereta. Ini seperti kolong blok yang tidak dilalui ramai orang. Saya dapat melihat apakah masalah yang dialami penduduk,” kata Encik Saktiandi, 51 tahun.

Beliau, yang menjadi AP sejak 2015, berkongsi rutin yang biasanya mengambil masa satu hingga tiga jam itu ketika bersembang dengan Berita Harian (BH) di kedai kopi di Toa Payoh. Wawancara itu sebahagian Siri Bersama Anggota Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum (GE) 2025 yang memaparkan AP Melayu/Islam dalam kawasan undi masing-masing.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bersembang dengan wartawan Berita Harian, Cik Nur Dhuha Esoof, sambil menikmati nasi lemak $1 dari Kedai Makan Muhajirin di Blok 20 Toa Payoh Lorong 7.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bersembang dengan wartawan Berita Harian, Cik Nur Dhuha Esoof, sambil menikmati nasi lemak $1 dari Kedai Makan Muhajirin di Blok 20 Toa Payoh Lorong 7. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ketika berbasikal atau bersarapan di pusat penjaja atau kedai kopi, beliau biasanya akan didatangi penduduk yang akan berkongsi tentang isu yang mereka hadapi.

“Bukan sahaja penduduk Toa Payoh East, tetapi penduduk Melayu/Islam di Bishan dan Toa Payoh ada juga datang menemui saya untuk mendapatkan pertolongan. Saya akan tulis dan beritahu agensi tertentu agar menghubungi penduduk dan membantu menangani isu yang dihadapi. Saya cuba sedaya upaya untuk membantu mereka melalui agensi tertentu dengan cepat,” kata Encik Saktiandi.

Rutin itu dilakukan sedang beliau mengimbangi tugas lain sebagai AP seperti mengadakan Sesi Bertemu Penduduk mingguan atau Meet-the-People Session (MPS), melakukan lawatan ke rumah dan menghadiri acara masyarakat serta akar umbi.

Ini di samping melaksanakan tanggungjawab kerjaya sebagai Ketua Kajian Forex Pasaran Global Kumpulan Maybank – yang sering menghendakinya ke luar negara – selain meluangkan masa dengan keluarga yang terdiri daripada isteri dan tiga anak.

“Sebagai AP yang masih bekerja di sektor swasta, memang mencabar untuk mengimbangi tumpuan kerana saya juga perlu beri tumpuan pada pekerjaan saya. Seperti yang kita tahu, pasaran dan situasi ekonomi swasta menitikberatkan untung dan melayani klien tanpa mengira masa. Sebagai AP, saya juga perlu mengambil berat keadaan penduduk. Jadi saya perlu mengimbangi tumpuan saya dengan baik,” kata Encik Saktiandi.

“Tapi apa yang saya ingin utarakan adalah seorang AP tidak bekerja secara seorangan. Mereka ada pasukan yang bekerjasama menjaga penduduk. Saya amat berterima kasih selama sembilan tahun saya menjadi AP, saya mempunyai pasukan yang baik dan boleh bekerjasama, bukan sahaja di Toa Payoh East tetapi juga di tempat kerja saya,” tambahnya.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, mengayuh basikal bersama kakitangan majlis bandaran di kawasan Toa Payoh East sebulan sekali untuk menemui penduduk dan bertanya khabar mereka.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, mengayuh basikal bersama kakitangan majlis bandaran di kawasan Toa Payoh East sebulan sekali untuk menemui penduduk dan bertanya khabar mereka. - Foto BH oleh KHALID BABA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg