Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza penting: Vivian

Mar 16, 2024 | 6:28 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri) dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani bertemu di Doha pada 15 Mac 2024.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri) dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani bertemu di Doha pada 15 Mac 2024. - Foto MFA

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani telah membincangkan secara mendalam tentang perkembangan serantau, termasuk situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza.

Mereka turut membincangkan akibat jangka panjang peperangan di Gaza bagi rantau itu.

“Sheikh Mohammad terlibat secara peribadi dalam usaha pengantaraan, termasuk pembebasan sebahagian tebusan dan gencatan senjata pada November 2023.

“Kami setuju bahawa gencatan senjata kemanusiaan segera adalah penting untuk membolehkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan segera masuk ke Gaza,” kata Dr Balakrishnan.

Dalam catatan Facebook pada 16 Mac yang diiringi video pertemuan beliau dengan Sheikh Mohammed, Dr Balakrishnan menambah bahawa kedua-dua mereka juga mengesahkan lagi kerjasama dua hala kukuh yang dikongsi antara Singapura dengan Qatar.

Semasa pertemuan tersebut, Dr Balakrishnan turut menyertai Sheikh Mohammed bagi iftar di Doha.

Dr Balakrishnan telah melawat Qatar pada 15 Mac sebelum lawatan kerjanya ke Amman, Jordan dari 16 hingga 17 Mac.

Dalam kenyataan pada 15 Mac, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Qatar memainkan peranan penting dengan rakan serantau lain dalam mencari gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.

Singapura dan Qatar juga menikmati hubungan dua hala yang sangat mesra dengan pertukaran peringkat tinggi baru-baru ini termasuk lawatan rasmi Sheikh Mohammed ke Singapura pada Ogos 2023 dan sebelum itu lawatan negara mantan Presiden Halimah Yacob ke Qatar pada Jun 2023.

Sebagai negeri kecil, Singapura dan Qatar berkongsi kepentingan bersama dan bekerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan tenaga, tambah MFA.

Dalam kenyataan berasingan, MFA berkata Dr Balakrishnan akan menyerahkan bantuan kemanusiaan ketiga Singapura untuk Gaza dengan kerjasama kerajaan Jordan semasa lawatannya ke Amman.

Lawatan beliau itu mengesahkan hubungan kukuh Singapura dengan rakan-rakan di Timur Tengah, yang membolehkan negara ini menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan berkesan dan tepat pada masanya.

Dr Balakrishnan turut diiringi Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad dan pegawai MFA semasa lawatannya ke Jordan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg