Pesawat Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) yang membawa bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan bekalan perubatan buat penduduk Gaza telah tiba di Jordan pada 15 Mac malam (waktu Singapura).
Ini merupakan bantuan kemanusiaan ketiga yang dihantar Singapura buat penduduk Gaza.
Menerusi laman Facebook beliau, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang kini berada di Amman, Jordan, berkata usaha ini diharapkan dapat membawa sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza, khususnya dalam bulan Ramadan ini.
“Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bersedia menyokong bantuan kemanusiaan Singapura untuk Gaza,” ujarnya.
RSAF telah mengerahkan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 dan pesawat pemunggah C-130 dengan 69 kakitangan untuk menyokong operasi itu.
Pesawat C-130 itu juga akan mengambil bahagian dalam operasi melepaskan bantuan kemanusiaan dari udara, berlepas dari Amman menuju ke Gaza, dengan sokongan Angkatan Bersenjata Jordan.
Merakamkan penghargaannya yang mendalam buat pegawai SAF yang dikerah bagi operasi ini, Encik Zaqy berkata:
“Terima kasih kerana tampil menyokong rancangan ini, walaupun dengan notis yang singkat. Anda memainkan peranan yang penting dan bermakna dalam membantu penduduk Gaza.
“Saya harap anda akan terus berjaga-jaga sepanjang misi ini dan pulang ke pangkuan keluarga dan orang yang tercinta dengan selamat.”
Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC) SAF telah menerajui usaha menyelaras dan menyatukan sumbangan bekalan bantuan kemanusiaan daripada beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan (MOH) dan SAF serta badan bukan pemerintah, Relief Singapore.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang kini berada di Amman akan menyerahkan bekalan bantuan itu kepada kerajaan Jordan untuk diagihkan kepada penduduk di Gaza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg