Sebanyak $254 juta tambah nilai MediSave akan diberikan pemerintah kepada warga Singapura Generasi Perintis dan Merdeka pada Julai tahun ini.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat, tambah nilai itu boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat dan CareShield Hayat.
Ia juga boleh digunakan untuk pelan insurans lain yang diluluskan oleh MediSave, kemasukan ke hospital, pembedahan dan rawatan untuk pesakit luar yang diluluskan.
Setiap warga Singapura daripada Generasi Perintis akan menerima antara $250 dengan $900 setiap tahun, sementara setiap warga Singapura Generasi Merdeka akan menerima $200 setiap tahun selama lima tahun dari 2019 hingga 2023.
Mereka yang layak dan telah memuat turun dan menyediakan aplikasi Singpass akan menerima pemberitahuan mengenai jumlah tambah nilai mereka selewat-lewatnya pada 20 Jun.
Mereka yang tidak mempunyai aplikasi itu tetapi telah mendaftarkan nombor telefon mereka dengan Singpass sebelum Ahad akan menerima SMS selewat-lewatnya pada 20 Jun untuk memaklumkan mereka jumlah yang mereka layak terima.
Warga emas yang lain akan menerima surat pada akhir Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg