PERBAHASAN mengenai kadar faedah untuk Akaun Biasa (OA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) telah dicetuskan semula berikutan berita bahawa kadar untuk Akaun Khas (SA) dan Akaun MediSave (MA) akan meningkat sebanyak 0.01 mata peratusan, daripada 4 kepada 4.01 peratus, pada suku ketiga tahun ini.
Ini kali pertama kadar faedah untuk SA dan MA akan melebihi 4 peratus sejak 2008.
Pemerintah melaksanakan kadar faedah paling rendah (floor interest rate) sebanyak 4 peratus untuk SA, MA dan Akaun Persaraan (RA) pada 2008. Kadar 4 peratus itu telah diberikan setiap tahun sejak itu.
Meletakkan angka itu dalam perspektif, peningkatan 0.01 mata peratusan untuk anggota CPF yang telah memenuhi jumlah persaraan penuh tahun ini sebanyak $198,800 merupakan peningkatan sebanyak $19.88 setahun.
Dr Chua Hak Bin, ketua bersama kajian makro serantau di Maybank berkata: “Peningkatan ini adalah sangat kecil berbanding kenaikan dalam inflasi dan kadar faedah pasaran.”
Tetapi beliau menambah bahawa walaupun kecil, ia “mungkin besar dari segi simbol kerana pemerintah tidak melaraskan kadar itu selama lebih daripada satu dekad”.
Pakar ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Walter Theseira, berkata peningkatan 0.01 mata peratusan itu “akan membentuk sejumlah wang” jika simpanan CPF keseluruhan penduduk diambil kira.
Kadar faedah untuk SA dan MA disandarkan pada hasil purata Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS) dalam tempoh 12 bulan dan disemak setiap suku tahun.
Dr Theseira berkata kadar SA dan MA boleh naik lebih tinggi pada suku keempat tahun ini sedang hasil bon meningkat.
“Satu-satunya persoalan ialah sama ada hasil jangka panjang akan meningkat. Ia hanya akan naik jika jangkaan untuk inflasi masa depan meningkat dengan ketara. Secara umum, orang ramai berpendapat bahawa inflasi akan lebih tinggi pada masa hadapan berbanding beberapa dekad yang lalu,” tambahnya.
Sementara itu, kadar faedah untuk RA akan kekal pada 4 peratus setahun. Ini kerana kadar RA disemak setiap tahun, tidak seperti kadar SA dan MA, yang disemak setiap suku tahun.
Pemerintah mengumumkan pada 2022 bahawa kadar RA akan dikekalkan pada 4 peratus dari Januari hingga akhir Disember 2023.
Kadar faedah OA akan kekal pada 2.5 peratus setahun pada suku ketiga. Ini kerana kadar OA yang dikira ialah 0.66 peratus dan oleh itu kekal di bawah kadar minimum yang ditetapkan iaitu 2.5 peratus.
Kadar OA adalah berdasarkan purata kadar deposit tetap dan simpanan di tiga bank tempatan dalam tempoh tiga bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg