Bakal calon Presiden, Encik George Goh, yakin beliau layak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada September nanti dan telah pun menyerahkan borang kelayakan ke Jabatan Pilihan Raya pada pagi Jumaat.
Dalam sidang media di Sheraton Towers pada Jumaat, Encik Goh berkata beliau secara serentak menguruskan lima syarikat sebagai eksekutif paling kanan selama lebih daripada tiga tahun yang lalu.
Beliau juga berkata kesemua lima syarikat itu telah meraih keuntungan secara purata selama tiga tahun yang lalu meskipun dalam keadaan pandemik global Covid-19.
Beliau mendedahkan bahawa sepanjang tiga tahun lalu, keuntungan keseluruhan yang diraih kelima-lima syarikat itu berjumlah $377 juta, sementara ekuiti pemegang saham gabungan dan kumulatifnya ialah sebanyak $1.521 bilion.
Lima syarikat yang diurusnya mempunyai jumlah ekuiti pemegang saham sebanyak $507 juta secara purata dalam tempoh tiga tahun.
Encik Goh, 63 tahun, enggan mendedahkan nama kelima-lima syarikat itu kerana berkata ia akan “meletakkan banyak tekanan” ke atas mereka.
Beliau telah memohon di bawah laluan penilaian sektor swasta 19.4(b).
Bercakap kepada media, usahawan itu berkata sebagai calon daripada sektor swasta, perjalanannya adalah jauh lebih mencabar berbanding calon daripada sektor awam yang “tidak perlu memikirkan tentang keuntungan”.
“Orang dari sektor swasta perlu bekerja sangat keras dan sangat sedikit orang yang layak, inilah hakikatnya,” kata beliau.
Encik Goh, yang merupakan pengasas bersama Harvey Norman Ossia, berkata beliau telah membuat perancangan bertanding bagi jawatan Presiden sejak 2017 dan perlu bekerja sangat keras untuk memastikan beliau memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk bertanding.
“Bukan mudah memenuhi keperluan yang ditetapkan kerana kami bekerja semasa tempoh Covid-19 di mana kebanyakan perniagaan mengalami kerugian.
“Memang sangat susah meraih keuntungan tetapi kerja keras kami berbaloi dan saya yakin saya telah memenuhi kriteria yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kebebasannya sebagai calon yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik.
“Terlalu ramai presiden kita yang lalu merupakan anggota kanan parti pemerintah dan telah bekerjasama rapat dengan pemerintah.
“Bolehkah mereka benar-benar bertindak secara bebas apabila mereka dilantik sebagai Presiden?
“Saya percaya adalah lebih baik untuk mempunyai seseorang yang tiada kaitan-kaitan ini.
“Saya tidak ada sebarang ikatan masa lalu dengan mana-mana parti... syarikat-syarikat saya tidak ada perniagaan dengan mana-mana syarikat yang berkaitan dengan pemerintah dan saya tidak mendapat pelaburan daripada dana negara,” kata Encik Goh.
Ditanya responsnya kepada mereka yang menganggap kurang pengalamannya bekerjasama dengan pemerintah dan sektor awam sebagai kelemahannya jika dilantik sebagai Presiden, Encik Goh menjawab:
“Dalam menguruskan perniagaan, seseorang itu tidak boleh hanya tahu tentang perniagaan sahaja, dia juga mesti pada masa yang sama, memahami politik.
“Jika anda tidak mempunyai pengetahuan politik, anda tidak akan boleh menguruskan perniagaan dalam begitu banyak negara.”
Encik Goh menambah bahawa pengalamannya sebagai Duta Besar ke Maghribi juga telah memberinya peluang berinteraksi dan bekerjasama dengan Perdana Menteri, menteri dan lembaga berkanun daripada Singapura dan Maghribi.
“Sepanjang enam tahun lalu, saya sangat beruntung kerana terdapat banyak peluang untuk saya belajar.
“Jika digabungkan semua ini (pengalaman perniagaan dan sebagai Duta Besar), saya rasa ia mencukupi untuk menjalankan jawatan Presiden,” ujar beliau.
Semasa sidang media pada Jumaat, Encik Goh turut didampingi panel yang digelarnya ‘Jantung Singapura’ (Heart of Singapore) terdiri daripada “wira biasa dari pelbagai lapisan masyarakat” termasuk penjaja, peniaga, bekas pesalah dan atlet kurang upaya.
Encik Goh juga ditemani isterinya, Cik Lysa Sumali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg