Geran $2,500 bantu pengeluar minuman tanggung kos skim kembali bekas minuman
Geran $2,500 bantu pengeluar minuman tanggung kos skim kembali bekas minuman
Pengeluar minuman akan menerima geran sekali sehingga $2,500 bagi membantu menampung kos mematuhi Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS), yang mula berkuat kuasa pada 20 Januari.
Dalam satu pekeliling kepada semua pengeluar minuman, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata: “Kami menyedari kesan skim ini berbeza-beza antara pengeluar, bergantung kepada cara produk diproses dan dipasarkan, serta jumlah keseluruhan pengeluaran atau import.
“Sesetengah pengeluar berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat peralihan sambil meminimumkan kesan kos.
“Pada masa yang sama, kami juga prihatin terhadap cabaran logistik yang dihadapi oleh sesetengah pengimport dan pengeluar berskala kecil.”
Semua pengeluar minuman berdaftar akan secara automatik menerima Geran Peralihan Pengeluar Skim Pemulangan Bekas Minuman sehingga $2,500 bagi setiap pengeluar.
Geran ini sah sehingga akhir September 2027 dan disalurkan melalui pengendali skim, BCRS Limited.
Pengumuman itu dibuat susulan bantahan daripada perniagaan kecil mengenai kos pematuhan skim tersebut, dengan sesetengah pengeluar dilaporkan berkata mereka mungkin terpaksa menaikkan harga runcit minuman botol dan tin di Singapura antara 25 sen dengan 60 sen.
Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan kenaikan harga, BCRS berkata:
“Berdasarkan pengalaman negara-negara lain yang melaksanakan skim serupa, sebarang peralihan kos kepada pengguna melalui harga minuman dijangka dapat dikawal oleh persaingan harga dalam kalangan pemain industri.”
BCRS turut menyatakan ia akan bekerjasama dengan pengeluar untuk meneroka kaedah yang lebih praktikal dan fleksibel bagi memenuhi keperluan skim tersebut.
“Bagi kebanyakan minuman tempatan, pengeluar boleh membuat peralihan dengan kos minimum, kurang daripada lima sen setiap unit.
“Namun, kami tetap prihatin terhadap cabaran logistik bagi pengimport dan pengeluar berskala kecil,” tambahnya.
Setakat ini, lebih 400 pengeluar minuman, yang menguasai 95 peratus pasaran minuman tempatan yang dikawal selia, telah mendaftar di bawah skim tersebut.
Menurut BCRS, sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan, pengeluar minuman perlu membayar yuran pendaftaran sekali sebanyak $500, dengan tambahan $5 bagi setiap produk yang didaftarkan.
Pengeluar minuman juga perlu membayar 3.1 sen bagi setiap bekas aluminium dan 3.7 sen bagi setiap bekas plastik yang diletakkan di pasaran bagi membiayai pengumpulan, pemprosesan dan pentadbiran skim tersebut.
Yuran itu dikira selepas mengambil kira hasil daripada penjualan bahan seperti plastik dan aluminium, serta deposit pengguna yang tidak dituntut.
BCRS berkata ia telah mengecualikan yuran pendaftaran $500 bagi pengeluar kecil yang mendaftar sebelum 9 Ogos 2025, dan menambah tiada perubahan kepada yuran pendaftaran buat masa ini.

