Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeran baharu $300j bantu bawa hasil penyelidikan ke pasaran
Geran Penterjemahan Penyelidikan di bawah Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030, akan biayai teknologi pada peringkat awal
Satu geran baharu bernilai $300 juta akan diperkenalkan bagi membantu hasil penyelidikan yang berpotensi daripada universiti dan institusi penyelidikan di Singapura dibawa lebih dekat kepada tahap pengkomersialan dan pelaburan swasta.
Geran Penterjemahan Penyelidikan (RTG) itu, di bawah Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030, akan membiayai teknologi pada peringkat awal, daripada ekosistem penyelidikan awam sehingga mencapai tahap yang membolehkan pelabur sektor swasta bersedia untuk melabur dan membawanya ke pasaran menerusi penubuhan syarikat pemula niaga atau pelesenan kepada perusahaan.
Sejumlah $300 juta akan diperuntukkan bagi RTG sepanjang tempoh lima tahun pelan RIE2030.
Geran itu boleh membiayai sehingga $2 juta bagi setiap Projek Penterjemahan Teknologi, manakala projek yang mendapat penglibatan awal pembina usaha niaga teknologi mendalam yang berpengalaman boleh menerima sehingga $3 juta setiap projek.
Geran baharu itu diperkenalkan sambil ekosistem syarikat pemula niaga teknologi mendalam (deeptech) Singapura berdepan persekitaran pembiayaan yang semakin mencabar.
Berdasarkan Laporan RIE2025, ia mendapati bahawa jumlah urus niaga pembiayaan modal teroka merosot daripada 134 pada 2023 kepada 91 pada 2025.
Ini meskipun syarikat pemula niaga teknologi mendalam Singapura menarik sekurang-kurangnya $1 bilion dalam pembiayaan modal teroka setiap tahun dari 2022 hingga 2025.
Laporan RIE2025 dan Pelan RIE2030 kedua-duanya diperkenalkan oleh Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat, semasa majlis Anugerah Presiden bagi Sains dan Teknologi (PSTA) 2026 di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 28 Ogos.
Geran tersebut adalah sebahagian daripada Pelan RIE2030, yang dikeluarkan sepenuhnya pada 31 Ogos.
Mengulas lebih lanjut tentang RTG baharu itu, seorang jurucakap NRF memberitahu Berita Harian (BH) bahawa ekosistem syarikat pemula niaga teknologi mendalam Singapura masih agak baharu.
Ini memandangkan banyak syarikat berkenaan baru ditubuhkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan masih berada pada peringkat awal pembangunan teknologi serta pengkomersialan.
Menurutnya, syarikat teknologi mendalam lazimnya berdepan tempoh pembangunan yang lebih panjang, keperluan modal yang lebih besar serta laluan kawal selia dan kemasukan pasaran yang lebih kompleks.
“Dalam konteks ini, RIE2030 akan menangani tiga cabaran utama, iaitu akses kepada modal, saluran teknologi yang berdaya maju secara komersial, serta ketersediaan bakat keusahawanan dan perniagaan yang berpengalaman,” ujar jurucakap NRF itu.
Dari segi akses kepada modal, tambahan sebanyak $1 bilion akan diperuntukkan di bawah RIE2030 untuk mempertingkatkan skim Startup SG Equity bagi meneruskan sokongan kepada syarikat pemula niaga teknologi mendalam pada peringkat awal serta memperluas sokongan kepada syarikat berkenaan pada peringkat pertumbuhan.
Bagi merapatkan jurang antara hasil penyelidikan yang berpotensi dengan teknologi yang berdaya maju secara komersial dan mampu menarik pelaburan, RTG akan menyediakan pembiayaan tanpa pencairan ekuiti kepada pihak yang menjalankan penyelidikan awam untuk melaksanakan pembangunan dan pengesahan lanjut bagi menangani risiko teknikal serta komersial yang kritikal.
Kegiatan yang boleh disokong termasuk memperhalus prototaip, mengesahkan prestasi dan kebolehpercayaan, menjalankan demonstrasi teknologi pada skala yang lebih besar atau dalam keadaan dunia sebenar, serta membangunkan proses pembuatan atau peningkatan skala.
“Pembina usaha niaga teknologi mendalam akan membawa lebih banyak input komersial dalam pemilihan dan pembangunan projek.
“Mereka boleh membantu mengenal pasti harta intelek awam yang berpotensi, membentuk strategi pengkomersialan serta menentukan pencapaian teknikal dan komersial yang diperlukan,” kongsi jurucakap NRF itu.
Dari segi bakat pula, inisiatif termasuk Program Inovasi Penyelidikan Siswazah (Grip) Nasional akan terus menyokong penyelidik dan pengasas dalam membina kemahiran, rangkaian serta pemahaman pasaran untuk membangunkan syarikat teknologi mendalam yang berdaya saing di peringkat global.
Menyentuh tentang keberkesanan RTG berkenaan, jurucakap NRF itu berkata ia akan diukur berdasarkan hasil penterjemahan dan pengkomersialan penyelidikan yang lebih kukuh, termasuk peningkatan saluran aset yang berdaya maju secara komersial daripada penyelidikan awam.
