Topik diikuti
Pergi ke BHkuNRF bakal umum dua laporan baharu, nilai kemajuan, lakar fasa seterus inovasi negara
Dua laporan baharu akan diumumkan oleh Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) pada hari-hari akan datang untuk menilai kemajuan dan melakar fasa seterusnya dalam penyelidikan, inovasi dan perusahaan Singapura, kata pengerusi yayasan tersebut, Encik Heng Swee Keat, pada 28 Ogos.
Laporan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025 (RIE2025), yang diterbitkan buat kali pertama, akan menunjukkan kemajuan yang telah dicapai dan mengetengahkan beberapa pencapaian utama penyelidikan dan pembangunan (R&D) Singapura dari April 2021 hingga Mac 2026.
Pelan RIE2030 pula akan menyediakan akaun maklumat, pelan, dan inisiatif utama bagi fasa seterusnya.
Berucap di majlis Anugerah Sains dan Teknologi Presiden (PSTA) 2026 di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Heng berkata dua laporan itu menandakan satu peristiwa penting.
“Ia menilai kemajuan yang telah dicapai oleh komuniti penyelidikan kita yang dinamik, serta menggariskan hala tuju yang jelas ke hadapan sambil kita terus melabur dalam sains dan teknologi sebagai asas pertumbuhan dan daya tahan Singapura,” ujar beliau.
PSTA 2026 itu meraikan golongan saintis, jurutera, dan pemimpin penyelidikan yang hasil kerja mereka telah menjana manfaat kepada ekosistem sains dan teknologi Singapura.
Dianjurkan oleh NRF, anugerah tersebut terdiri daripada Pingat Sains dan Teknologi Presiden (PSTM), Anugerah Sains Presiden (PSA), Anugerah Teknologi Presiden (PTA), dan Anugerah Saintis Muda (YSA).
Seramai lapan individu menerima penghormatan dalam PSTA 2026.
Turut hadir bagi menyampaikan anugerah dalam majlis tersebut adalah Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Berucap pada majlis tersebut, Encik Heng menekankan peri penting mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dalam merealisasikan manfaat penyelidikan secara lebih meluas di samping mengekalkan kepercayaan awam.
Ini meskipun kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), sains kuantum, dan pengkomputeran termaju membuka peluang baharu dalam penyelidikan.
“AI, sains kuantum, dan pengkomputeran termaju dapat mempercepatkan sains pertemuan (convergence science) dengan menggabungkan konsep, pendekatan dan teknik daripada pelbagai disiplin untuk menangani persoalan penyelidikan yang sangat kompleks.
“Namun, dalam kita meneroka peluang-peluang menarik ini, kita juga perlu mempertimbangkan persoalan sukar mengenai cara pembangunan dan penggunaan teknologi baharu harus ditadbir urus, bagi meraih manfaatnya sambil mengurangkan risiko kemudaratan terhadap individu dan masyarakat,” katanya.
Beliau juga berkongsi bahawa AI, khususnya AI generatif, semakin pantas menjadi pemacu utama serta norma baharu dalam penemuan dan aplikasi saintifik.
Ini lebih-lebih lagi dengan AI membantu penyelidik meneroka lebih banyak hipotesis, mengenal pasti corak tersembunyi dan memendekkan laluan daripada penemuan kepada impak.
“Pada masa yang sama, teknologi kuantum semakin beralih daripada makmal kepada aplikasi,” ujar Encik Heng.
“Bersama AI, kemajuan pesat dalam pengkomputeran kuantum membuka ruang baharu dalam penyelidikan dan inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan, sains iklim dan bahan termaju.”
Dilancarkan pada Disember 2025, RIE2030 merupakan pelan bernilai $37 bilion yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama.
Ini termasuk memberikan sumbangan yang ketara kepada keutamaan ekonomi dan strategik negara, mengekalkan pelaburan bagi mengembangkan sektor-sektor utama serta memastikan keupayaan dan bakat penyelidikan asas negara kekal di peringkat termaju.
