Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Geran maksimum Dana Eco SG dinaikkan kepada $30,000 sempena SG60

Dec 10, 2024 | 6:32 PM
Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Persekitaran), Encik Baey Yam Keng (kiri) semasa berkunjung ke Galeri Ruang Umum Karbon, di Vidacity, Pasir Ris.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Persekitaran), Encik Baey Yam Keng (kiri) semasa berkunjung ke Galeri Ruang Umum Karbon, di Vidacity, Pasir Ris. - Foto ZAOBAO

Dana Eco SG, yang menyokong projek asas melibatkan masyarakat dan memajukan kemampanan alam sekitar di Singapura, akan meningkatkan kategori Sprout-nya, dengan menambah jumlah geran maksimum daripada $8,000 kepada $30,000 bagi projek yang didaftar dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.

Peningkatan sekali itu bersempena perayaan Hari Kebangsaan Singapura ke-60 (SG60) yang akan datang, dan untuk menggalak usaha yang lebih pelbagai daripada masyarakat yang ingin menyumbang kepada tercapainya tujuan kemampanan di sini. 

Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Persekitaran), Encik Baey Yam Keng, mengumumkan demikian pada 10 Disember semasa berkunjung ke Galeri Ruang Umum Karbon, di Vidacity, Pasir Ris. 

Lawatan itu mempamerkan usaha penerima geran Dana Eco SG, Terra SG, membangunkan kesedaran masyarakat mengenai kemampanan melalui hab interaktif yang memberi tumpuan kepada karbon.

Pengunjung ke pameran itu berpeluang mengetahui mengenai penghasilan karbon dalam sehari, daripada penggunaan tenaga di rumah kepada makanan dan pakaian, sekali gus mendorong mereka membuat pertimbangan berkaitan sikap mereka.

Pengunjung juga boleh pelajari tentang alternatif mampan dan huraian praktikal untuk mengurangkan jejak karbon melalui aplikasi web istimewa Perwatakan Kemampanan interaktif.

Encik Baey disertai penerima geran terkini di bawah kategori Sprout Dana Eco SG. 

Dana Eco SG dilancarkan pada November 2020 untuk menyokong usaha masyarakat untuk mencapai kemampanan persekitaran di Singapura.

Kategori Utama untuk pendaftaran geran dibuka setiap tahun dari 1 Mei hingga 31 Ogos, dan kategori Sprout pula dibuka sepanjang tahun untuk menawarkan sokongan berterusan bagi projek kecil.

Kategori Sprout dimulakan pada Ogos 2021 untuk memudahkan dan memendekkan proses pendaftaran dan penilaian bagi projek yang mencari jumlah geran maksimum $8,000.

Pendaftar Sprout perlu menghantar dek dan membentangkannya kepada jawatankuasa penilaian jika dipilih.

Proses tersebut lebih mudah daripada proses pendaftaran bagi kategori Utama (di mana jumlah geran maksimum $1,000,000), yang memerlukan usul bertulis. 

Di bawah peningkatan pendanaan sekali kategori Sprout bagi SG60, pemohon yang layak boleh menerima jumlah geran maksimum $30,000, bagi 80 peratus keperluannya, untuk projek yang dihantar dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.  

“Dana Eco SG memperkasa masyarakat untuk bertindak membina negara yang lebih hijau dan mampan.

SG60 adalah masa bagi kita merenung nilai yang kita kongsi bersama, dan bekerjasama mencapai kemampanan bagi generasi mendatang.

“Dengan peningkatan pendanaan maksimum kategori Sprout pada 2025, kami harap lebih ramai warga Singapura akan digalakkan tampil, dalam semangat SG60 dan Dana Eco SG, untuk memainkan peranan istimewa anda dan membentuk kesan lebih luas dalam membina negara mampan bersama,” ujar Encik Baey.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg