Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif mampan bantu penduduk GRC East Coast atasi kos makanan

Penduduk nikmati diskaun apabila bawa perkakas khas guna semula
Dec 7, 2024 | 8:27 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga penasihat kepada GRC East Coast, melancarkan inisiatif mampan baru di Pusat Makanan Bedok dan menampalkan poster untuk gerai yang terlibat. Bersamanya ialah Cik Roziah Adun, pemilik Nur Indah Kitchen dan juga wakil penjaja Pusat Makanan Bedok.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga penasihat kepada GRC East Coast, melancarkan inisiatif mampan baru di Pusat Makanan Bedok dan menampalkan poster untuk gerai yang terlibat. Bersamanya ialah Cik Roziah Adun, pemilik Nur Indah Kitchen dan juga wakil penjaja Pusat Makanan Bedok. - Foto BM oleh KHALID BABA

Penduduk GRC East Coast kini boleh menikmati diskaun hingga 10 peratus di tempat makan di GRC itu melalui satu inisiatif baru yang bertujuan menggalak kemampanan.  

Program EC Green Savers menawarkan diskaun bermula pada 10 sen untuk minuman atau hingga 10 peratus diskaun untuk makanan di beberapa gerai terpilih, jika mereka bawa sendiri set guna semula yang diberikan khas.

Program tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Pelan East Coast, telah dilancarkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohd Maliki Osman, yang juga penasihat kepada GRC East Coast, di Pusat Makanan Bedok yang baru dibuka semula pada 2 Disember.

Inisiatif EC Green Savers, yang dilancarkan pada 7 Disember, membolehkan penduduk GRC East Coast mendapat diskaun jika mereka menggunakan perkakas khas boleh diguna semula yang termasuk bekas mangkuk tingkat, set sudu garpu, bekas minuman dan beg. 

Set mampan yang akan diterima penduduk GRC East Coast, termasuk bekas mangkuk tingkat, set sudu garpu, bekas minuman dan beg (tiada dalam gambar).
Set mampan yang akan diterima penduduk GRC East Coast, termasuk bekas mangkuk tingkat, set sudu garpu, bekas minuman dan beg (tiada dalam gambar). - Foto BM oleh KHALID BABA

Secara keseluruhan, sebanyak 70 kedai di kawasan Siglap terlibat dalam inisiatif tersebut dan 25 daripadanya ialah gerai di Pusat Makanan Bedok.

Dr Maliki berkata inisiatif tersebut bertujuan menangani dua isu utama – iaitu kemampanan dan kos sara hidup. 

“Dengan memberikan diskaun kepada mereka yang mengguna set mangkuk tingkat ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang agar mengamalkan tabiat mesra alam sambil menyokong perniagaan tempatan,” katanya.

Dr Maliki juga menekankan visi yang lebih luas untuk program ini, dengan memberi tumpuan kepada tanggungjawab individu.

“Kemampanan adalah usaha bersama,” jelasnya.

“Jika setiap penduduk memainkan peranan, seperti mengurangkan pembaziran makanan dan menggunakan bekas guna semula, kita akan meninggalkan impak yang besar. Setiap isi rumah mengambil tanggungjawab dan komited terhadap gaya hidup lebih mampan,” tambah Dr Maliki.

Wakil Pusat Makanan Bedok serta pemilik gerai Nur Indah Kitchen, Cik Roziah Adun, yang menyokong program ini berkata: “Inisiatif seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja mengurangkan pembaziran, bahkan memberi peluang kepada penjaja untuk terlibat dalam gerakan kemampanan.

“Kami, pihak penjaja berasa bangga dapat menyumbang kepada usaha ini dan berharap lebih ramai penduduk akan mengambil bahagian.”

Pemilik generasi kedua gerai Noi Kassim BBQ, Encik Muhammad Shafiq Mohamad Kassim, pula berkata:

“Sebagai generasi kedua dalam perniagaan ini, kami sangat teruja menyokong program yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan juga pelanggan. 

“Dengan menggunakan peralatan guna semula, kami bukan sahaja mengurangkan kesan kepada alam sekitar, bahkan memberi insentif kepada pelanggan untuk lebih berfikir tentang tabiat mereka semasa makan di luar.”

Inisiatif ini, yang pada mulanya menyasarkan 3,000 isi rumah, dijangka akan berkembang apabila mendapat sambutan. 

Dr Maliki berkongsi bahawa inisiatif ini mengambil masa perancangan selama enam bulan.

Antara lain, ia juga akan diperluaskan ke kawasan lain dalam GRC East Coast, menggalakkan lebih ramai perniagaan tempatan dan penduduk untuk menyertai gerakan kelestarian.

Penduduk yang berminat untuk menerima set makanan guna semula itu boleh ke kaunter Kelab Masyarakat Siglap di 151, Jalan Bedok South.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai kedai dan gerai yang mengambil bahagian, penduduk boleh mengunjungi laman www.go.gov.sg/ecgreensavers.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg