Fenomena gerhana bulan purnama berwarna kemerah-merahan, atau blood moon, seakan “bermain sorok-sorok” dengan penggemar fotografi dan pemerhati langit di Singapura, namun ia muncul lebih jelas di beberapa bahagian Asia, Afrika dan Eropah pada 7 September.
Di Facebook, sebilangan ahli kumpulan peminat CloudSpotting & SkySpotting Singapore, memuat naik gambar yang dirakam ke media sosial sambil meluahkan rasa agak kecewa kerana awan yang menghalang pemandangan.
Ada yang hanya sempat melihat sedikit sahaja pemandangan bulan merah di langit dari kawasan perumahan awam, manakala yang lain naik ke bumbung dan tempat melihat bintang utama seperti Marina Barrage untuk mengambil gambar lebih indah dan menarik.
Dalam satu catatan Facebook pada awal pagi 8 September, ahli Persatuan Astronomi Singapura (Tasos) berkata mereka berada di Passion Wave di kawasan Marina Bay tetapi “malangnya, bulan tidak keluar daripada lindungan awan”.
Fenomena bulan berwarna kemerah-merahan atau blood moon berlaku disebabkan gerhana bulan penuh.
Gerhana bulan purnama terakhir yang kelihatan di Singapura berlaku pada 8 November 2022, lapor The Straits Times (ST).
Gerhana bulan bermula pada 11.28 malam di Singapura, mencapai tahap maksimum pada 2.11 pagi pada 8 September, dan berakhir pada 4.55 pagi, menurut data terkini laman astronomi global timeanddate.com.
Gerhana bulan penuh di Singapura dapat dilihat setiap tiga hingga empat tahun sekali, menurut Balai Cerap Pusat Sains Singapura, sebagai menjawab pertanyaan media.
Menurut agensi berita AFP, apabila matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garisan, bayang-bayang yang dipancarkan oleh bumi pada satelitnya menjadikannya kelihatan berwarna merah pekat.
Mereka yang tinggal di Asia berada pada kedudukan terbaik untuk menyaksikan gerhana bulan penuh yang menghiasi langit itu, dengan agensi berita antarabangsa menyiarkan gambar dari Filipina, Myanmar, Sri Lanka, Turkey dan Iran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg