Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerhana bulan merah warnai langit S’pura 7 Sep, kali pertama sejak 2022

Aug 22, 2025 | 5:50 PM
Fenomena ‘blood moon’ semasa gerhana bulan penuh pada 10 Disember 2011.
Fenomena ‘blood moon’ semasa gerhana bulan penuh pada 10 Disember 2011. - Foto SHIN MIN

Pemerhati bintang di langit boleh menantikan satu fenomena istimewa pada September ini apabila gerhana bulan penuh yang pertama dalam tempoh tiga tahun akan muncul di langit Singapura.

Semasa gerhana yang dijangka berlaku pada 7 September, bulan akan bertukar warna kemerah-merahan, suatu fenomena yang dikenali sebagai ‘blood moon’ atau gerhana bulan merah.

Menurut Balai Cerap Pusat Sains Singapura, gerhana bulan penuh di Singapura biasanya dapat dilihat setiap tiga hingga empat tahun sekali. 

Apabila ia berlaku, tidak mustahil beberapa lagi gerhana akan menyusul dalam jarak masa yang dekat.

Gerhana bulan penuh terakhir yang kelihatan di Singapura adalah pada 8 November 2022.

Selepas fenomena pada 2025, yang seterusnya dijangka pada 3 Mac 2026. Namun, seperti gerhana pada 2022, ia dijangka sukar untuk dilihat.

Pada 7 September, gerhana bulan akan bermula pada 11.28 malam di Singapura, mencapai tahap maksimum pada 2.11 pagi (8 September), dan berakhir pada 4.55 pagi, menurut data terkini laman astronomi global timeanddate.com.

Semasa gerhana bulan penuh – apabila bumi bergerak tepat di antara matahari dengan bulan – cahaya matahari akan melalui atmosfera bumi, dan kemudian ke arah bulan, menurut maklumat di laman web agensi angkasa Amerika Syarikat, Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).

Atmosfera menyebarkan cahaya dengan jarak gelombang atau ‘wavelength’ pendek seperti biru dan hijau, manakala cahaya dengan jarak gelombang lebih panjang seperti merah dan jingga dibenarkan untuk terus menembusi.

Cahaya merah inilah yang akhirnya sampai ke bulan dan menjadikannya kelihatan merah menyinar.

Namun, tahap kejelasan warna merah ini berbeza-beza bergantung kepada keadaan atmosfera, seperti kewujudan debu atau pencemaran. 

Tidak semua gerhana bulan penuh menghasilkan fenomena ‘blood moon’ yang jelas dilihat.

Jika cuaca tidak berawan, pencinta dunia kaji bintang berpeluang menyaksikan fenomena ‘blood moon’ dengan mata kasar dari mana-mana lokasi di Singapura pada 7 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg