Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gigih bekerja meskipun dilanda pelbagai penyakit

Zakat lengkapi senarai bantuan bagi keluarga besar pesakit kronik
Dec 5, 2025 | 5:30 AM
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), zakat, Mohd Kamal Abdullah
Di sebalik pelbagai penyakit kronik yang dihidapinya, Encik Mohd Kamal Abdullah tetap bersyukur menerima bantuan zakat, hasil sumbangan masyarakat yang diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Rutin seharian Encik Mohd Kamal Abdullah dahulu seperti kebanyakan orang lain ialah pergi bekerja setiap hari dan menampung keperluan keluarga tanpa banyak cabaran.

Namun, sejak diserang pelbagai penyakit kronik beberapa tahun lalu, kehidupannya kini menjadi lebih mencabar.

Pada hari-hari tertentu, kesakitan yang dialami menyebabkan beliau tidak mampu keluar bekerja, sekaligus menimbulkan bebanan kewangan kepada beliau dan keluarganya.

Antara penyakit kronik yang dihidapi Encik Mohd Kamal, 45 tahun, termasuk masalah jantung, kencing manis, gout serta saluran darah beku di kepala.

Disebabkan faktor usia, Encik Kamal terpaksa menolak pilihan membuat pembedahan, dan kini hanya bergantung kepada rawatan ubat sahaja.

Meskipun terpaksa menahan kesakitan setiap hari, beliau tetap bertungkus-lumus mencari rezeki demi memastikan keperluan harian keluarganya terjamin.

“Hampir setiap hari kepala saya sakit kerana masalah darah beku di kepala. Tapi, sakit macam mana pun, saya tetap kena kerja. Demi anak-anak,” katanya dengan nada sebak.

Isterinya pula tidak bekerja dan menguruskan keluarga sepenuh masa serta menjaga lima orang anak yang masih bersekolah rendah, termasuk seorang yang berusia enam tahun.

“Isteri saya yang menguruskan segalanya. Kalau dia keluar bekerja, siapa nak jaga anak-anak, urus rumah, dan pantau saya bila sakit? Saya pula selalu tidak sihat. Oleh itu, saya yang perlu terus bekerja agar keperluan nafkah keluarga mencukupi,” ujarnya.

Encik Kamal bekerja dalam sektor penghantaran makanan dan hasil pendapatan beliau sangat tidak menentu, lebih-lebih lagi apabila tahap kesihatannya merosot.

Ada hari beliau mendapat rezeki yang mencukupi, namun ada kalanya beliau langsung tidak memperoleh apa-apa. Semuanya bergantung kepada jumlah pesanan yang diterima.

Keadaan kesihatannya yang kurang baik, termasuk mengalami sakit kepala kronik, pernah menyebabkan beliau pengsan ketika sedang bekerja.

Malah, sudah beberapa kali Encik Kamal terpaksa dimasukkan ke hospital dan tidak dapat keluar bekerja kerana kesakitan yang melampau.

Keadaan ini tentunya menjejas kewangan keluarga sehingga beliau sukar menampung komitmen bulanan seperti bil air, elektrik dan sewa rumah.

Dalam kesukaran tersebut, bantuan kebajikan menjadi sandaran bagi keluarga Encik Kamal.

Sebelum ini, keluarganya pernah menerima bantuan sebanyak $500 sebulan daripada beberapa badan kebajikan, namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarganya yang besar.

Justeru, beliau turut mendapatkan bantuan tambahan menerusi zakat dan sejauh ini, dana zakat telah memainkan peranan penting dalam membantu meringankan beban keluarga Encik Kamal.

Kini, beliau memperoleh bantuan zakat daripada Masjid Al-Islah di Punggol secara bulanan berupa baucar barangan dapur bernilai $120 dan wang tunai berjumlah $330.

Semua bantuan ini hasil sumbangan wang zakat yang dikeluarkan masyarakat dan ditadbir oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Beliau menyifatkan pihak masjid sangat memahami situasi keluarganya dan tidak pernah gagal menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah, saya menghargai setiap bantuan yang diterima. Namun, bantuan ini bukan untuk saya, sebaliknya untuk keluarga saya, bagi menampung keperluan harian mereka,” jelasnya.

Tunaikan kewajipan zakat anda sekarang kerana setiap sumbangan mampu mengubah hidup mereka yang memerlukan.

SEKILAS

Tunaikan tanggungjawab zakat anda di https://pay.zakat.sg untuk diagihkan kepada kesemua lapan asnaf, termasuk golongan fakir dan miskin.

Kunjungi mana-mana pusat kutipan zakat yang sah di masjid-masjid berdekatan untuk tunaikan zakat. Dapatkan senarai pusat di https://www.zakat.sg/ms/lokasi.

Untuk pertanyaan, e-mel info@muis.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg