Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meraikan insan bergelar ayah

Jun 15, 2025 | 5:30 AM
Hari Bapa, #DaddyDiaries,
Encik Muhammad Zharfan Mohd (tengah), memuat naikkan video detik-detik harian anak-anaknya dan juga rutin tanggungjawabnya sebagai seorang ayah ke media sosial. Bersama dalam gambar (dari kiri) Ashraf Danish Muhammad Zharfan, Asma Danisha Muhammad Zharfan dan Adam Danish Muhammad Zharfan. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Daripada keinginan untuk menyimpan memori peribadi, lahirlah rakaman harian yang kemudiannya diberi nama #DaddyDiaries (diari ayah).

Bagi Encik Muhammad Zharfan Mohd, bapa berusia 36 tahun, peranan sebagai ayah bukan sekadar tanggungjawab.

Malah, ia satu kisah harian yang dipenuhi dengan detik-detik istimewa yang mahu didokumentasi dan dikongsi dengan orang ramai.

View post on Instagram
 

Projek merakam dan memuatnaikkan video anak-anaknya bermula pada 2023 ketika Encik Zharfan sekeluarga pulang daripada bercuti.

Sebagai seorang jurugambar bebas, beliau banyak memetik foto, namun menyedari bahawa foto sahaja tidak cukup untuk menggambarkan suasana sebenar.

Ini terutama dalam mengenang kenangan bersama anak-anak lelakinya yang kini berusia tujuh dan lima tahun dan anak perempuannya yang hanya enam bulan.

Encik Zharfan (dua dari kanan) bersama isterinya Cik Nur ‘Aisyahbi Ahmad (kiri) berkongsi kerja harian menjaga anak-anak. Mereka sering ambil giliran terutama pada waktu malam. Bersama dalam gambar dari kiri, Asma Danisha Muhammad Zharfan, Adam Danish Muhammad Zharfan dan Ashraf Danish Muhammad Zharfan.
Encik Zharfan (dua dari kanan) bersama isterinya Cik Nur ‘Aisyahbi Ahmad (kiri) berkongsi kerja harian menjaga anak-anak. Mereka sering ambil giliran terutama pada waktu malam. Bersama dalam gambar dari kiri, Asma Danisha Muhammad Zharfan, Adam Danish Muhammad Zharfan dan Ashraf Danish Muhammad Zharfan. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau menjadi lebih serius merakam semasa Ramadan pada Mac lalu, apabila beliau merakam anak sulungnya, tujuh tahun, yang mencuba berpuasa penuh hari untuk kali pertama.

Video-video itu kemudiannya dikongsi di Instagram dan TikTok – bukan untuk meraih perhatian, tetapi sekadar diari digital yang kini memberi inspirasi kepada ramai ibu bapa lain.

“Ramai bapa muda komen ucap terima kasih, katanya video saya bantu beri gambaran tentang apa yang mereka bakal lalui,” kata pustakawan itu kepada Berita Minggu (BM) baru-baru ini.

Sebagai jurugambar bebas, Encik Zharfan lebih biasa berada di belakang kamera dan memetik gambar-gambar keluarganya.
Sebagai jurugambar bebas, Encik Zharfan lebih biasa berada di belakang kamera dan memetik gambar-gambar keluarganya. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

“Ada juga ibu-ibu yang kata mereka tak sangka ada bapa yang begitu ‘hands-on’. Mungkin mereka tak biasa tengok suami atau ayah yang ambil peranan sebegini,” ujar Encik Zharfan yang juga merupakan pekerja bebas sebagai jurugambar perkahwinan.

Tanpa skrip mahupun perancangan rumit, rakaman dilakukan secara spontan – sama ada ketika anak-anak bersiap ke sekolah, mandi pagi atau bermain di rumah.

“Saya letak kamera, dan biar saja detik itu berlaku secara semula jadi. Kadang-kadang detik yang terindah adalah yang tidak dirancang,” tambah beliau.

Apa yang menjadikan ‘Daddy Diaries’ begitu menyentuh hati adalah kejujuran video tersebut. Encik Zharfan tidak cuba menjadi penyunting secara profesional atau mempamerkan kesempurnaan.

Encik Zharfan dan Cik ‘Aisyahbi seronok menonton video-video yang telah dimuat naik oleh Encik Zharfan kerana dapat melihat betapa cepatnya anak-anak mereka membesar.
Encik Zharfan dan Cik ‘Aisyahbi seronok menonton video-video yang telah dimuat naik oleh Encik Zharfan kerana dapat melihat betapa cepatnya anak-anak mereka membesar. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sebaliknya, beliau menunjukkan realiti kehidupan seorang bapa yang juga manusia biasa.

Antaranya adalah rutin hariannya termasuk menjaga anak dan juga bekerja.

Video-video itu turut menunjukkan kepenatan mengimbangi masa menjaga anak-anaknya tetapi tetap mahu terlibat dalam kehidupan harian si cilik.

Anak sulungnya, yang kini Darjah 1, perlu menyesuaikan diri dengan rutin baru, termasuk menaiki bas sekolah seawal 6 pagi.

“Kami berdua perlu menyesuaikan diri. Tapi saya mahu mendokumentasikan peralihan ini kerana ini juga satu peristiwa besar dalam kehidupan kami sekeluarga,” ujar Encik Zharfan.

Anak-anaknya yang lain, juga kerap muncul dalam video, menggambarkan dinamik perhubungan adik-beradik dan keibubapaan yang menyentuh hati.

Isterinya, Cik Nur ‘Aisyahbi Ahmad, 37 tahun, turut menyokong usaha ini dan seronok melihat bagaimana anak-anak mereka membesar melalui rakaman tersebut.

“Dia suka menonton video-video itu dan dapat lihat sejauh mana anak-anak kami telah membesar. Kami selalu akan banding pertumbuhan mereka dan mereka membesar terlalu cepat,” kongsi Encik Zharfan.

Encik Zharfan turut mengongsi bahawa tanggungjawab dan kerja harian menjaga anak-anak dikongsi bersama isterinya.

“Saya bersama isteri mengambil giliran menjaga anak. Keinginan untuk memainkan peranan menjaga anak ini juga datang secara semula jadi kerana ingin membantu,” katanya yang tidak segan silu menukar lampin anak ataupun mandikan anak-anak.

Walaupun Daddy Diaries tidak pernah diniatkan untuk tontonan umum, perhatian yang diterima mendorong Encik Zharfan untuk terus berkarya.

“Jika ia membantu seseorang berasa difahami atau disokong sebagai ibu bapa, itu satu bonus,” katanya.

“Tapi akhirnya, video-video ini untuk anak-anak saya – supaya mereka sentiasa tahu betapa mereka sangat disayangi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg