Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Giliran Iman Fandi sinari papan iklan Times Square, New York

Jun 20, 2024 | 7:01 PM
Penyanyi Iman Fandi merupakan artis Singapura terkini yang dipapar pada papan iklan Times Square, Bandar New York, pada 19 Jun sebagai sebahagian daripada kempen ‘Equal’ kendalian Spotify.
Penyanyi Iman Fandi merupakan artis Singapura terkini yang dipapar pada papan iklan Times Square, Bandar New York, pada 19 Jun sebagai sebahagian daripada kempen ‘Equal’ kendalian Spotify. - Foto UNIVERSAL MUSIC SINGAPORE

Wajah penyanyi dan model Singapura, Iman Fandi, terpampang megah pada papan iklan di Times Square, Bandar New York (NYC) pada 19 Jun.

Bak masih berada di awang-awangan, beliau masih tidak percaya wajahnya dipaparkan di papan iklan sinonim bandar New York itu.

View post on Instagram
 

Dalam satu catatan di Instagram pada 20 Jun, artis wanita berusia 24 tahun itu berkata: “Ketika kecil, adalah sesuatu yang saya selalu impikan untuk melihat wajah saya dipaparkan pada papan iklan.

“Tidak pernah saya sangka bahawa saya akan tampil pada papan iklan di NYC bersama Spotify. Saya masih ingat lagi panggilan yang saya terima untuk peluang ini dan saya benar-benar tidak mempercayainya sehinggalah perlu melalui sesi mengambil gambar pada hari berikutnya.”

Beliau menyertai artis tempatan lain seperti Stefanie Sun, Tanya Chua, Jasmine Sokko dan Shazza, yang dipaparkan pada papan iklan NYC sebagai sebahagian daripada kempen Equal kendalian syarikat penstriman muzik, Spotify.

Kempen tersebut bertujuan mengetengahkan wanita yang ada dalam wadah muzik, podcast dan video digital serta memupuk kesaksamaan dalam industri muzik, lapor The Straits Times (ST),

Iman merupakan duta bagi kempen tersebut bagi Singapura dan Malaysia.

Satu-satunya puteri kepada ikon bola sepak Singapura iaitu Fandi Ahmad dan bekas model, Wendy Jacobs atau nama Islamnya Nur Sarah Abdullah, Iman membuat penampilan sulung dalam arena muzik profesional sebagai penyanyi dan penulis lagu pada 2021.

Single pertamanya berjudul Timeframe dan Love Me Little More telah mencatatkan lebih satu juta penstriman di Spotify.

Penyanyi pop/R&B itu, yang menandatangani kontrak dengan label rakaman Universal Music Singapore, mengeluarkan single terbarunya, Leave You On Read, pada April dan kini sedang menyiapkan album sulungnya.

Pada 2023, Iman merupakan salah seorang pemuzik tempatan yang menyanyikan lagu tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) iaitu Shine Your Light.

Beliau memulakan kerjaya permodelan pada usia 14 tahun dan telah muncul di muka depan majalah seperti Elle Singapore dan Harper’s Bazaar Singapore dan bekerjasama dengan jenama seperti Adidas dan Celine.

Dalam catatannya, beliau menambah: “Dengan sokongan Spotify, Spotifyasia dan Equal, ia bukan sahaja memberi inspirasi kepada saya sebagai artis wanita, tetapi juga ramai yang lain untuk terus mencipta muzik dan menempa nama dalam industri.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg