Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gim, studio kecergasan buka semula dengan langkah selamat Covid-19

Lakukan pembersihan, pembasmian kuman sebelum mula terima pelanggan semula semalam
Jun 24, 2021 | 5:30 AM
PASTIKAN SEMUA FAHAM LANGKAH KESELAMATAN: Encik Muhammad Ridhwan Ahmad (kiri) berkata beliau memahami tujuan sekatan langkah pengurusan selamat (SMM) yang ditetapkan pemerintah, dan beliau memastikan semua kakitangan gim tinjunya serta pelanggan faham dan mematuhi SMM itu. - Foto BH oleh TIMOTHY DAVID
PASTIKAN SEMUA FAHAM LANGKAH KESELAMATAN: Encik Muhammad Ridhwan Ahmad (kiri) berkata beliau memahami tujuan sekatan langkah pengurusan selamat (SMM) yang ditetapkan pemerintah, dan beliau memastikan semua kakitangan gim tinjunya serta pelanggan faham dan mematuhi SMM itu. - Foto BH oleh TIMOTHY DAVID -

PEMILIK gimnasium gembira sekatan Covid-19 bagi senaman telah dilonggarkan dan sambutan daripada orang ramai, terutama ahli gim yang ghairah untuk kembali bersenam, memberangsangkan.

Mulai Isnin lalu, gim dan studio kecergasan boleh mengadakan kegiatan sukan atau senaman dalam bangunan tanpa menggunakan pelitup dalam kumpulan hingga dua orang dan dalam kelas hingga 30 orang, termasuk instruktor.

Namun, kegiatan yang dilaksana di gim mesti mematuhi syarat jarak selamat sekurang-kurangnya dua meter antara individu dan tiga meter antara kumpulan.

Kegiatan menggunakan pelitup dan kegiatan luar bangunan tanpa pelitup boleh dijalankan dalam kumpulan tidak lebih lima orang atau dalam kelas hingga 30 orang, termasuk instruktor.

Pemilik bersama gim tinju Legends Fight Sport and Habit di Hong Kong Street, Encik Muhammad Ridhwan Ahmad, berkata beliau menghargai peluang menyambung kelas dan memahami langkah pengurusan selamat (SMM) yang ditetapkan pemerintah.

Kelas di gim beliau, 34 tahun, bermula semula dengan had jumlah peserta tertentu.

"Kami faham ramai orang ingin ke gim untuk bersenam. Namun, ini adalah satu cabaran buat kami kerana pada masa sama, kami ingin mengelakkan jumlah orang terlalu ramai," ujarnya.

Encik Ridhwan berkata beliau mengadakan mesyuarat bersama kakitangannya Ahad lalu bagi memastikan semua orang faham dan mematuhi SMM itu.

"Kami juga telah membersihkan dan menyahjangkit secara menyeluruh di gim kami untuk memastikan keselamatan bagi semua orang," kata beliau.

"Saya berasa perniagaan gim ialah suatu yang penting dan ia membina masyarakat kita. Saya harap kami dapat meneruskan kemudahan gim ini dan lebih orang akan turut serta," tambah Encik Ridhwan, sambil menambah bahawa gimnya akan membuka sebuah lagi cawangan di Yo:Ha Commercial Tampines.

Turut berasa gembira mengenai kelonggaran sekatan itu ialah pengasas studio gaya hidup sihat 1-Habit di North Bridge Road, Cik Aqilah Norazman, 32 tahun.

"Respons sejauh ini sangat positif, dan bagi kebanyakan klien, studio kami juga adalah tempat selamat untuk mereka melatih kesihatan mental.

"Ramai daripada mereka terjejas dari segi kesihatan mental ketika tempoh ini dan pembukaan semula studio kami ialah satu langkah positif," ujar Cik Aqilah.

Menurut beliau, 1-Habit akan melancarkan 30 kelas seminggu, dengan jurang masa 15 minit antara kelas untuk menguruskan jumlah orang di studionya.

"Kami sering berkomunikasi dengan klien untuk memberi maklumat terkini mengenai protokol baru.

"Kami faham bahawa hal begini sering boleh mengelirukan, tetapi sebagai pengasas studio kecergasan ini, saya harus menjaga kakitangan serta klien sambil memastikan semua prosedur dilakukan dengan selamat.

"Ini termasuk menjelaskan kepada mereka tentang peraturan menjaga jarak selamat, melatih kakitangan kami untuk melakukan Ujian Pantas dan Mudah (FET), pembersihan dan pembasmian kuman," jelasnya.

Cik Aqilah akur peraturan baru itu mungkin lebih menyusahkan bagi sebahagian orang, namun beliau percaya dengan kesabaran dan kerjasama, ia dapat dilaksana dengan lebih cepat dan selesa.

"Latihan dan senaman adalah kegiatan penting untuk kesihatan fizikal dan, lebih-lebih lagi, mental. Oleh itu, kami harap kami dapat terus menyediakan wadah ini untuk seramai mungkin anggota masyarakat," ujar Cik Aqilah.

Hujung minggu lalu, kakitangan gim dan studio kecergasan itu meluangkan masa menyiapkan premis masing-masing bagi membuka semula pintu mereka kepada orang ramai.

"Kami faham ramai orang ingin ke gim untuk bersenam. Namun, ini adalah satu cabaran buat kami kerana pada masa sama kami ingin mengelakkan jumlah orang terlalu ramai... Kami juga telah membersihkan dan menyahjangkit secara menyeluruh di gim kami untuk memastikan keselamatan bagi semua orang." - Encik Muhammad Ridhwan Ahmad, pemilik bersama Legends Fight Sport and Habit.

"Kami faham bahawa hal begini (langkah keselamatan) sering boleh mengelirukan, tetapi sebagai pengasas studio kecergasan ini, saya harus menjaga kakitangan serta klien sambil memastikan semua prosedur dilakukan dengan selamat. Ini termasuk menjelaskan kepada mereka tentang peraturan menjaga jarak selamat, melatih kakitangan kami untuk melakukan Ujian Pantas dan Mudah (FET) dan pembersihan serta pembasmian kuman." - Cik Aqilah Norazman, pengasas 1-Habit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg