Topik diikuti
Pergi ke BHkuGo-Ahead tingkat latihan, sokongan buat pemandu bas, lepas aduan waktu tunggu lebih lama di Tampines
Go-Ahead tingkat latihan, sokongan buat pemandu bas, lepas aduan waktu tunggu lebih lama di Tampines
Go-Ahead tingkat latihan, sokongan buat pemandu bas, lepas aduan waktu tunggu lebih lama di Tampines
Langkah sedang diambil untuk menangani aduan daripada pengguna pengangkutan awam di Tampines yang berdepan waktu menunggu bas lebih lama sepanjang dua bulan lalu, kata pengendali bas Go-Ahead Singapore (GAS).
Langkah pengendali itu diambil selepas penduduk memaklumkan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Baey Yam Keng, apabila perjalanan harian bas mereka menjadi tidak menentu, dengan waktu menunggu lebih lama dan bas tiba secara serentak, sejak GAS mengambil alih operasi di kawasan situ.
Encik Baey juga merupakan Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia).
Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST) pada 15 September, seorang jurucakap GAS berkata pengendali itu telah memperkukuh operasinya bagi memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan buat penumpang.
Ini termasuk menyediakan sokongan tambahan kepada kapten bas baharu yang sedang membiasakan diri dengan laluan dan keadaan operasi baharu, dalam bentuk bimbingan lebih menyeluruh serta sokongan di lapangan untuk membantu mereka memperoleh keyakinan mengendalikan laluan-laluan itu.
Jurucakap itu menambah bahawa kapten bas yang berpengalaman turut membimbing rakan sekerja baharu mereka.
GAS turut menghantar lebih ramai kakitangan operasi di pusat tukaran bas dan perhentian bas utama untuk memantau keadaan perkhidmatan serta membantu kapten bas jika diperlukan.
Jurucakap itu berkata langkah tersebut akan membantu GAS mengatur jadual bas dengan lebih baik dan memastikan bas tiba tepat pada masanya.
“Kami berbesar hati kerana prestasi perkhidmatan semakin baik sejak peralihan ini, dan kami akan terus memantau operasi dengan teliti serta membuat penyesuaian apabila perlu,” katanya.
GAS mula mengendalikan kesemua 29 perkhidmatan bas di kawasan Tampines pada 19 Julai, mengambil alih laluan yang sebelum ini dikendalikan SBS Transit (SBST).
Dalam satu hantaran Facebook pada 13 September, Encik Baey berkata beliau telah menyampaikan kebimbangan penduduk kepada pihak pengurusan tertinggi GAS, yang mengakui terdapat isu berkaitan peralihan itu.
Beliau menambah bahawa sekitar 40 peratus kapten bas yang mengendalikan perkhidmatan itu adalah baharu, justeru mereka memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan laluan dan operasi berkenaan.
Selain itu, perkhidmatan kini beroperasi dari Depoh Bersepadu East Coast yang baharu di Changi, tempat bas diletakkan, dibersihkan dan diselenggara. Pemandu turut memulakan perjalanan mereka dari situ sebelum menuju ke pusat tukaran bas.
Bas-bas itu sebelum ini beroperasi dari depoh bas SBST di Bedok North.
Encik Baey berkata pemandu yang sudah terbiasa bekerja dari depoh lama perlu menyesuaikan diri dengan depoh baharu, dan ia boleh menjejaskan kehadiran atau prestasi kerja mereka, seterusnya menjejaskan perkhidmatan secara tidak langsung.
Penyesuaian itu termasuk laluan “luar perkhidmatan” yang berbeza ke dan dari depoh baharu, waktu perjalanan dari rumah yang turut berbeza, serta tempat dan waktu makan atau rehat yang baharu.
Kebanyakan isu tersebut telah diselesaikan oleh GAS, kata Encik Baey.
GAS turut memberi jaminan kepada beliau bahawa syarikat itu sedang memperkukuh latihan dan sokongan kepada kapten basnya, tambah beliau.
“Yang penting sekarang ialah pengguna pengangkutan awam dapat melihat penambahbaikan sebenar,” kata Encik Baey.
