Topik diikuti
Pergi ke BHkuGolden Chance hanya akan kembali ke TKC jika kadar sewa rendah
Golden Chance hanya akan kembali ke TKC jika kadar sewa rendah
Pemilik “gembira” kendalikan kedai emas itu yang telah berpindah ke City Plaza pada masa ini
Golden Chance hanya akan kembali ke TKC jika kadar sewa rendah
Jenama barang kemas popular dalam kalangan masyarakat Melayu setempat, Golden Chance, hanya akan kembali ke Tanjong Katong Complex (TKC) apabila ia dibuka semula sekiranya kadar sewa yang ditawarkan adalah rendah.
Ini dijelaskan sendiri oleh pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties, Encik Mohamed Salleh Marican, kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Sebelum ini beliau pernah mengendalikan tiga jenama – Golden Chance, First Lady dan Second Chance – di TKC yang lama.
Jenama Second Chance tidak lagi beroperasi sejak 17 tahun lalu, manakala First Lady pula dihentikan apabila TKC ditutup bagi memberi laluan kepada kerja peningkatan.
Berkata demikian kepada BH, Encik Mohamed Salleh berkata kini hanya tinggal jenama Golden Chance yang masih wujud, dengan Encik Salleh berkata pihaknya “gembira” mengendalikan kedai emas itu yang telah berpindah ke City Plaza, sebuah pusat beli-belah yang terletak berdekatan TKC.
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya sewa di TKC baru ditawarkan pada kadar yang rendah, ia “mungkin akan mendorong kami untuk kembali ke TKC”.
“Pada masa ini kami gembira dengan lokasi kedai emas kami di City Plaza. Tapi kalau kadar sewa TKC baru nanti rendah, mungkin kami pertimbangkan untuk kembali ke sana,” katanya.
Kerja-kerja naik taraf TKC – bangunan mercu tanda yang dekat di hati ramai orang Melayu dalam Jalur Budaya Geylang Serai – dijangka selesai pada separuh pertama 2028, yang bermakna ia masih boleh dibuka semula kepada awam pada 2029, sebagaimana yang dilapor BH sebelum ini.
Sekitar 1,500 meter persegi – atau kira-kira 5 peratus – daripada ruang lantai kasar maksimum sekitar 30,000 meter persegi pusat beli-belah berwajah baru itu akan dikhususkan bagi perniagaan dan inkubasi keusahawanan Melayu.
Ruang tersebut akan dibangunkan dan dikelolakan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Sementara itu seorang lagi peniaga, Cik Lubna Osman Bamadhaj, yang dahulunya pemilik kedai pakaian Bamadhaj Brothers – yang berada di TKC selama 12 tahun sebelum ia ditutup – juga berkata beliau tiada rancangan untuk kembali ke pusat beli-belah itu, “sebahagiannya kerana kadar sewa pasti lebih tinggi”.
Selain itu, beliau berkata trend beli-belah juga telah berubah, dengan lebih ramai berbelanja di dalam talian.
“Kalau kita tengok TKC yang dahulu, semasa off-season memang senyap. Kita cuma harapkan orang belanja kalau mereka ada majlis. Ramadan memang baik.
“Tetapi hari ini, orang lama pun dah tak ada, dan orang baru pula biasanya beli online,” kata beliau.
