Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Golden Mile Complex tampilkan pusat seni bina apabila dibuka semula pada 2029

Bangunan strata berskala besar pertama yang dipulihara di S’pura itu dinamakan semula sebagai The Golden Mile
Dec 10, 2024 | 5:51 PM
Gambaran artis menunjukkan ‘The Golden Mile’ (kiri) setinggi 22 tingkat, dan menara kediaman 45 tingkat dinamakan ‘Aurea’ dibina bersebelahannya.
Gambaran artis menunjukkan ‘The Golden Mile’ (kiri) setinggi 22 tingkat, dan menara kediaman 45 tingkat dinamakan ‘Aurea’ dibina bersebelahannya. - Foto FAR EAST ORGANIZATION DAN PERENNIAL HOLDINGS

Orang ramai boleh menjangkakan ciri-ciri lama Golden Mile Complex seperti atrium besar bangunan itu dikekalkan apabila bangunan di Beach Road itu dibuka semula selepas selesai menjalani kerja-kerja peningkatan pada lewat 2029.

Langkah mengekalkan atrium bangunan itu merupakan antara sebab di sebalik keputusan membina menara kediaman 45 tingkat yang baru untuk melengkapkan kompleks dipulihara tersebut, yang kini dinamakan semula sebagai The Golden Mile, kata pemilik dan arkitek yang mengusahakan projek tersebut.

Pada 10 Disember, Far East Organization dan Perennial Holdings – pemaju utama konsortium yang membeli bangunan itu pada 2022 – mendedahkan rancangan mereka bagi The Golden Mile, sebelum pelancaran pejabat dan suite perubatannya untuk penjualan pada akhir Disember, lapor The Straits Times.

Golden Mile Complex merupakan bangunan strata berskala besar pertama yang dipulihara di Singapura.

Pemuliharaannya pada 2021 dijalankan dengan pakej insentif yang unik kepada kompleks tersebut demi menyokong daya maju komersial penggunaan semula bangunan itu menyusuli penjualan kolektif.

Projek tersebut dipantau secara dekat oleh karyawan persekitaran binaan sebagai kes ujian bagi cara bagaimana bangunan besar dan moden boleh dipulihara, diberi nafas baru dan berpotensi dibangunkan dengan cara yang sensitif dan menguntungkan.

Satu insentif ketara adalah Keluasan Lantai Kasar (GFA) bonus yang menghasilkan tambahan satu pertiga keluasan berbanding saiz pembangunan asal tapak itu.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebelum ini berkata GFA bonus itu boleh menyediakan ruang bagi menara kediaman dibina bersebelahan kompleks tersebut.

Konsortium itu turut dibenarkan membeli sebahagian tanah negara yang terletak bersebelahan untuk mewujudkan sempadan tapak yang lebih teratur untuk menara itu.

Pada Ogos, URA memberi keizinan kepada pemaju untuk membina menara 45 tingkat dinamakan Aurea – tambahan 15 tingkat berbanding apa yang dikatakan pihak berkuasa sebelum ini – dan kelulusan untuk menambahkan empat tingkat kepada kompleks dipulihara itu.

Aurea dan The Golden Mile akan menjadi sebahagian daripada pembangunan pelbagai guna dikenali sebagai Golden Mile Singapore, dengan 188 unit kediaman Aurea akan dilancarkan bagi penjualan dalam suku pertama 2025.

Menjelaskan ketinggian Aurea, pengarah eksekutif khidmat hartanah Far East Organization, Encik Marc Boey, berkata ia adalah gabungan beberapa faktor.

Pertama, pemaju membeli tapak tanah negara lebih kecil daripada apa yang ditawarkan URA.

Tanpa mendedahkan butiran, Encik Boey berkata tanah yang dibeli itu adalah “apa yang diperlukan untuk menyediakan pembangunan yang baik, dan bentuk yang baik bagi seni bina”.

Kedua, Encik Boey berkata pemaju memutuskan untuk merangkumkan sebuah pusat seni bina dalam kompleks dipulihara itu, dengan Golden Mile Singapore mendapat tambahan GFA bonus di bawah Skim Kemudahan Masyarakat/Sukan URA.

Ketiga, langkah mengekalkan atrium terbuka kompleks itu bererti pemaju boleh mengalihkan GFA bonus ke bahagian projek yang lain, kata Encik Seah Chee Huang, ketua eksekutif DP Architects – firma yang mengusahakan Golden Mile Singapore.

Bangunan The Golden Mile setinggi 22 tingkat itu akan mempunyai 156 unit pejabat strata merentasi sekitar 37,600 meter persegi dan 19 suite perubatan dengan keluasan 3,000 meter persegi, dengan setiap daripadanya dilengkapi dengan tandas.

Kompleks itu juga akan menawarkan ruang runcit seluas 11,463 meter persegi, dan pusat seni bina seluas 2,322 meter persegi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg