Pada 28 dan 29 September 2024, Dads for Life telah menganjurkan beberapa acara termasuk Father Proud Walk dan kejohanan futsal sulungnya iaitu Piala Bapa Sepanjang Hayat, yang turut menampilkan penyertaan pasukan Berita Harian (BH).
Ia menghimpunkan lebih 150 individu untuk meraikan kebapaan, memupuk perpaduan masyarakat, dan menggalak hubungan keluarga yang sihat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Ini sempena program sebulan, Bulan Kebapaan Melayu/Islam, yang dianjurkan Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH).
Program itu memasuki tahun ketujuhnya.
Pada 28 September, sekitar 80 peserta berkumpul untuk menyertai acara Father Proud Walk.
Dari 8 hingga 10 pagi, para bapa bersama ahli keluarga mereka berjalan sekitar 2 kilometer dari Marina Bay Sands ke Merlion.
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah juga hadir untuk acara tersebut selaku tetamu terhormat.
Dalam satu kenyataan bersama, CFF dan BSH berkata, acara berjalan itu bertujuan mempamerkan komitmen kaum bapa untuk meningkatkan penglibatan dalam kehidupan anak-anak mereka dan memupuk sokongan masyarakat.
Pada 29 September pula, satu kejohanan futsal – Piala Bapa Sepanjang Hayat - diadakan di Homeground Sports di Woodlands Industrial Park E7, yang menyaksikan penyertaan 19 pasukan - 14 pasukan dalam kategori terbuka (13 tahun dan atas) dan lima pasukan dalam kategori veteran (45 tahun ke atas).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg