Google perkenal langkah pengesahan umur bagi pengguna S’pura bawah 18 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Google perkenal langkah pengesahan umur bagi pengguna S’pura bawah 18 tahun

Feb 2, 2026 | 6:03 PM

Google perkenal langkah pengesahan umur bagi pengguna S’pura bawah 18 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
pengesahan umur, google
Pengguna yang dianggarkan berumur bawah 18 tahun akan dimaklumkan melalui e-mel dan semasa menggunakan produk Google bahawa tetapan mereka telah diubah. - Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE

Google memperkenalkan langkah baru untuk mengesahkan umur pengguna dalam produk yang ditawarkan di Singapura pada 2 Februari.

Ia sebahagian daripada usaha mengukuhkan keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun.

Langkah itu terdapat pada produk Google seperti Gemini, Maps, Google Play, Search dan YouTube.

Antara langkah yang diterapkan ialah menyahaktifkan penjejakan lokasi dalam Google Maps, menyekat akses kepada aplikasi khusus bagi pengguna dewasa di Google Play, menghidupkan penapis SafeSearch secara automatik, serta mengaktifkan alat kesejahteraan digital YouTube.

Alat kesejahteraan itu termasuk peringatan untuk berehat serta meletakkan had tontonan berulang bagi kandungan tertentu.

Dengan menggunakan model pembelajaran mesin, Google akan menganggarkan umur pengguna berdasarkan maklumat yang dikaitkan dengan akaun mereka, seperti kegiatan carian dan kategori video yang ditonton di YouTube.

Pengguna yang dianggar berumur bawah 18 tahun akan secara automatik menerima langkah perlindungan itu.

Langkah yang digelar ‘penyelesaian jaminan umur’ oleh Google itu diumumkan pada Oktober 2025.

Google ketika itu berkata langkah-langkah yang sebagaimana dikehendaki oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), akan dilaksanakan pada suku pertama 2026.

Pengguna yang dianggarkan berumur bawah 18 tahun akan dimaklumkan melalui e-mel dan semasa menggunakan produk Google bahawa tetapan mereka telah diubah.

Pengguna dewasa yang dikenal pasti sebagai pengguna bawah umur secara salah, akan dapat mengesahkan umur mereka, termasuk dengan memuat naik salinan kad pengenalan atau gambar swafoto mereka, kata Google dalam satu kenyataan media pada Oktober 2025.

Langkah memperketat kawalan terhadap akses pengguna bawah umur dibuat susulan kebimbangan ibu bapa mengenai risiko dalam talian yang dihadapi anak mereka.

Ini termasuk pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai, menurut tinjauan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) yang dijalankan pada Februari 2025.

Pelaksanaan langkah itu akan melengkapkan alat keselamatan keluarga sedia ada Google, termasuk Family Link, penggunaan YouTube di bawah pengawasan dan sumber literasi digital ‘Be Internet Awesome’.

Penyelesaian jaminan umur Google juga “akan diperluaskan ke Brazil dan Australia selain Singapura, selari dengan pendekatan sejagat”, kata syarikat itu dalam respons kepada pertanyaan media pada 2 Februari.

Beberapa negara lain turut melaksanakan had umur bagi memperkukuh keselamatan dalam talian untuk pengguna muda.

Di Australia, remaja di bawah 16 tahun dilarang menggunakan wadah media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, sebagai salah satu tindakan kawalan digital paling tegas di dalam kalangan negara demokratik.

China telah melaksanakan tetapan ‘mod bawah umur’, yang memerlukan sekatan khusus pada aplikasi dan peranti bagi mengawal masa skrin mengikut umur.

Di Jerman, remaja berumur antara 13 dengan 16 tahun dibenarkan menggunakan media sosial hanya dengan keizinan daripada ibu bapa mereka.

Manakala, larangan media sosial bagi pengguna berumur bawah 16 tahun di Malaysia dijangka berkuat kuasa pada lewat 2026.

Negara seperti Perancis, Denmark, Britain, Norway dan Greece juga sedang menimbang larangan media sosial untuk remaja muda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg