Mulai Januari 2026, pelajar sekolah menengah tidak dibenarkan menggunakan telefon bijak dan jam tangan bijak di luar waktu belajar di sekolah, seperti semasa waktu rehat dan kegiatan kokurikulum (CCA), sebagai sebahagian daripada garis panduan penggunaan skrin yang diperketat.
Mereka juga tidak boleh gunakan telefon bijak dan jam tangan bijak semasa kelas tambahan dan pengayaan.
Di bawah garis panduan sekarang, pelajar sekolah menengah tidak dibenarkan menggunakan telefon bijak atau jam tangan bijak semasa waktu belajar.
Garis panduan yang diperketat ini selaras dengan sekatan yang telah dilaksanakan bagi murid sekolah rendah sejak Januari 2025.
Garis panduan baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) itu adalah sebahagian daripada siri inisiatif yang diumumkan pada 30 November untuk membantu kanak-kanak dan ibu bapa membentuk tabiat digital yang sihat.
Menerusi satu kenyataan pada 30 November, MOE berkata alat pelajar itu perlu disimpan di tempat yang ditetapkan seperti lokar atau dalam beg sekolah sepanjang waktu sekolah.
Jam tangan bijak turut tertakluk di bawah garis panduan ini kerana ia membolehkan komunikasi melalui pesanan ringkas serta akses kepada aplikasi termasuk media sosial.
Ini boleh menyebabkan gangguan, penggunaan skrin secara pasif dan mengurangkan interaksi dengan rakan mereka, jelas MOE.
“Jika perlu, sekolah boleh membenarkan penggunaan telefon bijak dengan pengecualian,” tambahnya.
Mulai Januari 2026 juga, MOE berkata mereka akan turut membuat penyesuaian kepada waktu ‘mengunci’ alat pembelajaran peribadi pelajar kepada 10.30 malam, berbanding 11 malam sekarang ini.
Ini bermakna alat berkenaan akan berada dalam mod ‘tidur’ dari 10.30 malam hingga 6.30 pagi.
“Ini boleh membantu pelajar mengurus penggunaan alat mereka sebelum tidur, serta mendorong mereka tidur lebih awal,” kata MOE dalam kenyataannya.
Sejak 2021, pelajar sekolah menengah mempunyai alat pembelajaran peribadi masing-masing, iaitu tablet atau komputer riba – kebanyakannya iPad atau Chromebook – yang diluluskan sekolah.
Setiap alat pembelajaran peribadi dilengkapi dengan aplikasi pengurusan alat, yang membolehkan sekolah menyekat akses kepada kandungan Internet yang tidak sesuai seperti pornografi dan perjudian, serta menetapkan had masa penggunaan skrin.
Di luar waktu sekolah, ibu bapa boleh memilih sama ada alat pembelajaran peribadi anak mereka dikekalkan dengan penetapan aplikasi pengurusan sedia ada, menggunakan penetapan yang diubah suai, atau mematikan aplikasi tersebut sepenuhnya, yang membolehkan had masa penggunaan skrin alat itu dilonggarkan.
MOE berkata ibu bapa yang telah memilih pilihan sekatan lebih longgar itu amat digalak untuk mempertimbang supaya menyelaraskan waktu alat pembelajaran peribadi anak mereka ‘dikunci’ pada 10.30 malam.
Mengulas tentang garis panduan yang disemak itu, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Jasmin Lau, berkata menerusi laman Instagram beliau bahawa sementara teknologi kini menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan dan boleh membantu dalam kehidupan harian, adalah perlu untuk mencari keseimbangan yang sihat dan menyedari bahawa tabiat terbentuk sejak awal.
Perubahan ini akan membantu pelajar membentuk tabiat digital yang sihat bagi sepanjang hayat, kata Cik Lau.
Tambahnya, butiran lanjut mengenai pelaksanaan garis panduan yang disemak itu akan disampaikan menerusi sekolah menengah masing-masing.
“
Kita perlu mencari keseimbangan yang sihat dan sedar bahawa tabiat terbentuk sejak awal.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg