Mengukir tanah liat hingga tersergam indah kerja seni penuh perlambangan bukan hanya mampu dilakukan golongan seniman terlatih sahaja.
Ia bahkan boleh diusahakan sesiapa sahaja yang gigih menyemai minat baru di samping bekerjasama dan membina persahabatan berbekal kecenderungan dan nyala rasa serupa.
Menyedari perkara ini, penggiat seni setempat, Encik Raihan Harun tampil bekerjasama dengan beberapa penduduk kejiranan Mountbatten untuk menghasilkan lebih 250 patung ukiran tanah liat yang unik.
Patung ini membentuk kontinjen Kawalan Kehormatan bagi memperingati Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang terakhir diadakan di Stadium Negara di Kallang.
Karya berjudul National Antiquities Parade itu merupakan bahan pameran interaktif yang akan dipaparkan semasa Minggu Seni Singapura (SAW) sebagai sebahagian program mendekati masyarakat menerusi seni, SAW x PAssionArts 2025.
SAW anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) berlangsung antara 17 hingga 26 Januari 2025.
Kerja seni oleh kolektif seni Temporal Displacement Agency (TDA) ini dihasilkan dengan kerjasama Kelab Seni dan Budaya Masyarakat (CACC) Mountbatten, sebagai sebahagian sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60).
Ia fokus meraikan keistimewaan acara ikonik di Singapura iaitu NDP.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Encik Raihan, 44 tahun, berkata karya tersebut menghormati sumbangan unik Mountbatten kepada Singapura sebagai satu-satunya kawasan kediaman yang menjadi tuan rumah NDP dari 1973 hingga 2006.
“Kawasan ini mempunyai sejarah istimewa, terutamanya bagi Generasi X, Generasi Y dan Generasi Millenial kerana golongan ini menikmati perarakan Hari Kebangsaan di Stadium Negara.
“Melalui karya ini, kami ingin mencipta semula sebahagian daripada sejarah itu dan menjadikannya bahan perbincangan,” kata beliau, yang merupakan pengarah artistik kolektif seni TDA, di bawah syarikat hiburan, Void Deck Games Studios.
Seawal 9.30 pagi pada 21 December, 28 individu berkumpul di ruang perhimpunan penduduk Jalan Batu yang dipanggil Resident’s Network, untuk belajar mengukir dan mencorak kerja seni dari tanah liat.
Dengan sokongan kakitangan TDA, mereka menghasilkan dua patung askar tanah liat setiap seorang.
Patung itu sebahagian daripada lebih 250 patung yang dihasilkan peserta lain di Mountbatten.
Mereka termasuk penduduk kondominium The Waterside, pelajar Sekolah Menengah Broadrick, Resident’s Network Dakota Breeze, Pusat Penuaan Aktif Thye Hua Kwan @ Cassia dan Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf).
Encik Raihan berharap projek itu memberi ruang kepada penduduk kawasan itu untuk mengenali satu sama lain dan bertukar-tukar pendapat.
“Dalam dunia di mana ramai orang lebih gemar buat hal sendiri dan cenderung dengan tanggapan peribadi mereka dan enggan mendengar pandangan orang lain, kami ingin sediakan ruang untuk komunikasi dan perbincangan antara penduduk.
“Apabila anda menghasilkan sebuah karya, saya rasa ia memberi ruang bagi orang ramai memperluas pandangan mereka ketika mereka bergaul,” katanya.
Cik Norimah Aman, 65 tahun, penududuk yang sekian lama menetap di Mountbatten, berkata beliau gembira dapat menyertai kegiatan itu bersama jiran-jirannya.
Ibu tiga anak itu berkata beliau masih ingat tempoh beliau teruja menunggu kontinjen perbarisan melintasi kawasan kediamannya semasa Hari Kebangsaan.
“Dulu ada askar akan berarak dari Kem Guillemard. Saya dan jiran-jiran saya akan menunggu bersama untuk melihat mereka berbaris di kawasan perumahan kami untuk berjalan kembali ke kem itu.
“Jadi bila saya dengar tentang peluang mengambil bahagian dalam projek seperti ini, saya gembira kerana saya dan rakan-rakan saya dapat mengimbas kembali kenangan manis yang kita pernah lalui bersama,” ujarnya.
Seni pemasangan National Antiquities Parade akan dipamerkan di Pusat Pengunjung, Hab Sukan Singapura dari 17 hingga 26 Januari 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg