Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pantulan cahaya rekaan artis kurang upaya bakal nyalakan Marina Bay

Sebahagian daripada acara kira detik di kawasan itu sambut 2025
Dec 20, 2024 | 5:24 PM
Persembahan pantulan cahaya yang diiringi muzik merupakan antara acara diadakan di serata Singapura untuk menyambut tahun 2025 dan Hari Kebangsaan ke-60 Singapura nanti.
Persembahan pantulan cahaya yang diiringi muzik merupakan antara acara diadakan di serata Singapura untuk menyambut tahun 2025 dan Hari Kebangsaan ke-60 Singapura nanti. - Foto ST

Pantulan cahaya yang menggambarkan galaksi, rama-rama dan burung merupakan antara karya seni yang akan menyalakan bangunan The Fullerton Hotel dari 26 hingga 31 Disember. 

Karya-karya ini direka oleh artis kurang upaya dari persatuan ART:DIS, iaitu pertubuhan bukan untung tempatan yang bertujuan untuk memberi peluang bagi golongan kurang upaya untuk belajar dan mencari mata pencarian melalui seni. 

Pantulan cahaya ini ditampilkan dengan kerjasama rakan masyarakat dan badan dermawan tempatan, The Majurity Trust, lapor The Straits Times

Persembahan pantulan cahaya yang diiringi muzik tersebut – edisi kedua Brightening Lives – merupakan sebahagian daripada acara kira detik di Marina Bay untuk melangkah masuk ke 2025.

Persembahan berwarna-warni ini akan diadakan setiap hari – untuk setiap 15 minit – dari 8 hingga 10.30 malam (kecuali 31 Disember, yang mana pantulan terakhir akan diadakan pada 10.45 malam).

Setiap persembahan berlangsung selama enam minit. 

Tema kali ini, Thriving, menggalakkan masyarakat untuk merenung kembali makna kejayaan di Singapura, yang mana setiap orang mempunyai peluang untuk berjaya, tanpa mengira latar belakang atau keadaan. 

Persembahan tersebut terdiri daripada tiga pantulan cahaya seni dihasilkan khas untuk acara ini, serta lima karya sedia ada yang digubah dalam bentuk lain. 

Persembahan tersebut terdiri daripada tiga pantulan seni lukis yang dibuat khas, serta serta lima karya sedia ada yang digubah dalam bentuk lain. 
Persembahan tersebut terdiri daripada tiga pantulan seni lukis yang dibuat khas, serta serta lima karya sedia ada yang digubah dalam bentuk lain.  - Foto ST

Salah satu pantulan cahaya baru tersebut dinamakan Piece By Piece hasil karya Brennen Tay, Crystal Tay dan Sophie Valerio. 

Blok binaan serta galaksi luas yang digambarkan ialah simbol bagaimana setiap bakat unik dapat disatukan untuk membuka pintu peluang yang tiada hadnya.

Satu lagi karya yang direka khas, In Flight oleh Amelia Tan, menampilkan sekumpulan burung berwarna-warni sedang menjelajahi persekitaran yang berlainan, menggambarkan keazaman untuk berkembang dan mengatasi cabaran. 

Karya terbaru ketiga, Thriving In Singapore oleh Abraham Koh, ialah karya kontemporari yang menggambarkan Singapura sebagai destinasi yang menjadi tumpuan semua, tidak kira latar belakang mereka.

Selain acara persembahan pantulan cahaya, pertunjukan bunga api, yang akan bermula dari 11 malam pada 31 Disember, akan menyalakan kawasan Marina Bay.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg