Grab menandatangani memorandum persefahaman (MOU) baru dengan empat syarikat teknologi autonomi untuk meneroka impak dan peranan kenderaan autonomi (AV) di Asia Tenggara, kata syarikat itu pada 10 Mac.
Syarikat teknologi itu akan bekerjasama dengan Autonomous A2Z, Motional, WeRide dan Zelos untuk menilai teknologi dalam penghantaran dan mobiliti seperti pengangkutan, bas, kereta dan bot.
Grab berkata ia akan menilai bagaimana AV dapat meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kemalangan jalan raya, lapor The Business Times (BT).
Ia juga akan menilai peluang bagi pemandu dan rakan penghantaran meningkatkan kemahiran dalam industri autonomi yang berkembang, serta menganalisis struktur kos AV untuk menentukan kebolehan dan ketahanannya pada jangka panjang.
Encik Anthony Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang juga pengasas bersama Grab, menyatakan teknologi itu berkembang pesat, tetapi impaknya terhadap landskap pengangkutan di Asia Tenggara masih banyak yang belum diterokai.
“Melalui kajian kolaboratif ini bersama syarikat teknologi autonomi terkemuka, kami ingin mendapatkan pemahaman lebih mendalam tentang cara kenderaan autonomi dapat mempertingkatkan ekosistem pengangkutan kami sambil mengekalkan peranan penting pemandu dan rakan penghantaran,” katanya.
Ini menandakan satu lagi langkah dalam penerokaan berterusan Grab dalam teknologi pemanduan autonomi.
Pada 2016, Grab bekerjasama dengan syarikat permulaan nuTonomy untuk membenarkan pengguna aplikasi terpilih menyertai ujian teksi tanpa pemandu pertama di dunia di Singapura.
Pada 2022, Grab bekerjasama dengan syarikat teknologi NCS untuk menguji perkhidmatan penghantaran makanan menggunakan robot AV bagi melayani tetamu dan peniaga makanan dan minuman (F&B) di Sentosa.
Encik Yee Wee Tang, Pengarah Urusan Grab Singapore, berkata dalam satu temu bual bersama The Straits Times (ST) pada 2 Mac bahawa syarikat teknologi itu sedang memikirkan bagaimana AV dapat melengkapi kumpulan pemandunya dan mengisi kekosongan untuk laluan kurang popular, seperti berhampiran Zoo Singapura di Mandai.
Namun, beliau menambah bahawa ia akan mengambil “beberapa tahun” sebelum teknologi tersebut dapat dilancarkan di Singapura “secara besar-besaran”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg