Pelancong yang melawat Singapura dari Ogos hingga Oktober, termasuk untuk perlumbaan hujung minggu Formula Satu (F1) Grand Prix, bakal menerima dua baucar bonus tambang Grab baharu apabila mereka mendaftar untuk pas perjalanan menerusi aplikasi tempahan kenderaan dalam panggilan tersebut.

Dalam satu kenyataan media pada 11 Ogos, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Grab mengumumkan pelancaran baucar berkenaan sebagai sebahagian daripada kempen tiga bulan bagi “mendorong pelancong meneroka lebih banyak (kawasan) di Singapura”.

Baucar pertama menawarkan diskaun 20 peratus bagi perjalanan ulang-alik ke Katong-Joo Chiat, Tiong Bahru, Mandai dan Sentosa, terhad kepada dua penebusan bagi setiap pelanggan.

Baucar kedua pula menggalak aktiviti penerokaan pada waktu malam, dengan menawarkan diskaun satu kali sebanyak 20 peratus bagi sebarang perjalanan ulang-alik Grab ke kawasan tumpuan kehidupan malam di Holland Village, Clarke Quay, Boat Quay dan Robertson Quay antara 7 malam dengan 4 pagi.

Bagi menerima baucar ini, pelancong perlu mendaftar Pas Perjalanan Grab Singapura menerusi aplikasi tempahan kenderaan tersebut, iaitu satu pakej diskaun yang merangkumi pengangkutan, makanan dan aktiviti pelancongan, dan sebagainya.

Kempen yang berlangsung dari Ogos hingga Oktober ini bertepatan dengan musim Grand Prix Singapura dari 2 hingga 11 Oktober, serta Festival Sungai Singapura yang akan dianjurkan dari 11 hingga 20 September.

“Salah satu cara terbaik untuk merasai pengalaman di Singapura adalah dengan menerokainya dari satu kawasan ke kawasan lain,” kata Pengarah Urusan Grab Singapore, Encik Alejandro Osorio.

“Daripada menerokai makanan tempatan dan peninggalan warisan di Katong-Joo Chiat sehingga meluangkan masa seharian di Mandai atau menikmati suasana bandar selepas senja, setiap kawasan di Singapura menawarkan kelainan yang tersendiri.”

Pengarah Eksekutif STB bagi Asia Tenggara, Encik Terrence Voon menambah:

“Menerusi kerjasama kami dengan Grab serta jangkauannya yang luas di serata Asia Tenggara, kami berharap dapat menggalak lebih ramai pelancong memilih Singapura sebagai destinasi percutian mereka yang seterusnya.”

STB dan Grab berkata kempen ini akan menyasar pelancong yang merancang untuk melawat Singapura menerusi iklan digital yang tertumpu kepada pasaran-pasaran utama Asia Tenggara.

Sebaik sahaja tiba di Singapura, pelancong boleh mengakses pas perjalanan serta baucar yang dikhaskan bagi kawasan tertentu untuk dibeli menerusi aplikasi tempahan kenderaan tersebut.

Inisiatif ini meneruskan usaha kempen STB ‘We don’t wait for fun’ yang dilancarkan pada Februari bagi menarik golongan pelancong muda, berusia antara 25 dengan 39 tahun, ke Singapura.

Dilancarkan di sembilan pasaran – termasuk China, Indonesia, Thailand dan Vietnam – kempen ini mengetengahkan daya tarikan kurang dikenali di serata negara seperti New Bahru dan Joo Chiat.

STB mengunjurkan ketibaan pelawat antarabangsa pada 2026 bakal mencecah antara 17 juta dengan 18 juta orang, manakala perbelanjaan pelancongan dijangka mencapai $31 bilion hingga $32.5 bilion.

Pada 2025, hasil pendapatan pelancongan Singapura meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu $32.8 bilion. 

Ketibaan pelawat antarabangsa pula mencecah 16.9 juta orang pada 2025, meningkat berbanding 16.5 juta pada 2024.

Pada Mei, Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, berkata projek-projek pelancongan bakal menerima suntikan dana sebanyak $740 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.