Penerbangan khas STB bagi warga asing terkandas di S’pura berlepas ke Oman
Penerbangan khas STB bagi warga asing terkandas di S’pura berlepas ke Oman
Seramai sembilan penumpang yang menaiki penerbangan khas diuruskan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), telah berlepas dari Singapura ke Muscat, Oman, pada pagi 8 Mac.
Penerbangan Singapore Airlines SQ8002 itu adalah bagi pelancong bukan pemastautin yang berada di Singapura, dan berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 5.30 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat.
Pesawat yang sama kemudiannya akan kembali dengan membawa pulang rakyat Singapura dari Oman pada malam 8 Mac.
Jurucakap STB berkata pihaknya menerima permohonan bagi mendapatkan bantuan daripada 33 pelawat asing yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah.
Antara mereka ialah pasangan daripada Switzerland yang berhasrat tinggal di Singapura hanya untuk satu malam transit tetapi akhirnya terkandas selama lebih seminggu.
Warga Switzerland, Encik Jeremie Berard, 36 tahun, dan pasangannya dari Portugal, Cik Joana Goncalves, 31 tahun, dijadualkan berlepas dari Singapura pada 28 Februari tetapi penerbangan mereka dibatalkan beberapa kali.
“Saya agak kecewa (tentang pembatalan penerbangan) tetapi pada masa yang sama, saya gembira kerana saya berada di sini dan bukan di Doha kerana di sini kami selamat dan mempunyai semua yang kami perlukan,” kata Cik Goncalves.
Arkitek itu menambah bahawa mereka menghabiskan masa mereka ketika berada di sini dengan bersiar-siar.
“Semua tiket penerbangan telah habis dijual dan kami tidak mempunyai peluang lain untuk pulang,” tambahnya.
Mereka sepatutnya kembali ke Zurich melalui Doha tetapi penerbangan mereka pada 28 Februari dibatalkan. Mereka juga membeli tiket untuk 1, 3 dan 8 Mac tetapi semuanya dibatalkan dalam notis singkat.
Pasangan itu menambah bahawa mereka juga perlu sentiasa mencari tempat penginapan baru di sini di tengah-tengah ketidakpastian bila mereka akan dapat pulang.
“Pada satu ketika, kami sangat terdesak sehingga kami mempertimbangkan untuk melalui Amerika Syarikat dan Canada dan kembali ke Eropah selepas itu,” kata Encik Berard, yang merupakan seorang jurutera.
Mereka telah mengetahui tentang penerbangan yang diatur oleh STB melalui hotel mereka dan berkata mereka “sangat gembira” dan “bersyukur” atas aturan itu, sambil menyatakan bahawa prosesnya lancar.
Dari Oman, mereka akan terbang ke Istanbul, sebelum menaiki penerbangan terakhir ke Zurich.
Jurucakap STB berkata lapan pelawat asing tidak dapat menaiki pesawat kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang diperlukan untuk memasuki Oman, satu prasyarat bagi perjalanan.

